JASNS keluarkan empat kompaun di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974

Ops Gerak yang dijalankan JAS pada 6 Februari lalu. - Foto JASNS
Ops Gerak yang dijalankan JAS pada 6 Februari lalu. - Foto JASNS
A
A
A

SEREMBAN - Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan (JASNS) mengeluarkan empat kompaun kepada pemilik premis atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan yang berkaitan.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, turut dikeluarkan adalah 11 arahan lapangan (Field Citation) dan tiga notis arahan kepada premis yang terlibat di bawah akta yang sama di atas kesalahan-kesalahan dikenalpasti.

Menurutnya, semua kesalahan itu di kesan oleh JASNS dalam penguatkuasaan Ops Gempur yang diadakan di sekitar kawasan Perindustrian Nilai 3 dan premis industri di kawasan Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada Selasa.

"Penguatkuasaan ini dilakukan untuk menilai sejauh mana tahap pematuhan premis-premis tersebut mengikut bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974).

"Sebanyak sebelas premis telah diperiksa, didapati hanya enam premis sahaja tertakluk di bawah AKAS 1974 manakala lima premis lagi tidak tertakluk di bawah AKAS 1974," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

JAS turut menjalankan Ops Gerak pada 6 Februari lalu. - Foto JASNS
JAS turut menjalankan Ops Gerak pada 6 Februari lalu. - Foto JASNS

Mengulas lanjut, Veerapan berkata, Ops Gempur yang dilaksanakan itu melibatkan 13 anggota termasuk pegawai penguatkuasa JASNS yang dibahagikan kepada lima pasukan.

Katanya, JASNS sentiasa memandang serius terhadap ketidakpatuhan di bawah AKAS 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya untuk memastikan pematuhan berterusan dalam usaha pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pada 6 Febuari lalu, pihaknya telah melakukan Ops Gerak di tiga lokasi iaitu di Jalan Persiaran Senawang, Kawasan Perindustrian Sendayan Tech Valley dan juga di Jalan Tampin – Seremban.

Katanya, hasil operasi tersebut, daripada 16 kenderaan yang diperiksa ujian meter asap, enam kenderaan telah diarah untuk membuat pemeriksaan lanjut di Puspakom dan selebihnya mematuhi garis panduan ditetapkan.

"Merujuk kepada Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Diesel) 1996, standard pelepasan asap bagi kenderaan berenjin diesel adalah tidak melebihi 50 HSU/%.

"Kegagalan pemilik kenderaan diesel mematuhi peraturan ini boleh dikompaun tidak melebihi RM2,000," katanya.