X

Kindly register in order to view this article
!

Waspada sindiket menyamar pegawai LHDN

Waspada dengan panggilan daripada scammer yang menyamar sebagai pegawai LHDN.
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengingatkan orang ramai agar berwaspada berikutan sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai LHDN untuk memperdayakan mangsa.

Dalam kenyataannya pada Khamis, LHDN berkata, antara modus operandi ialah dengan menakutkan mangsa menyebabkan mangsa panik dan akhirnya memaksa mangsa mengambil tindakan terburu-buru dengan menyerahkan butiran peribadi dan perbankan, malah ada yang secara sukarela membuat bayaran wang tunai kepada ahli sindiket.

"Orang ramai hendaklah lebih peka dan sentiasa menasihatkan ahli keluarga serta masyarakat sekeliling berkenaan perkara ini agar dapat mengelakkan diri daripada menjadi mangsa.

"Orang ramai juga dinasihatkan berhati-hati dan jangan mudah terpedaya serta lakukan pengesahan dengan LHDN terlebih dahulu terhadap setiap panggilan, e-mel mahupun surat yang meragukan dengan menghubungi talian Hasil Care Line atau talian pegawai yang boleh disemak senarainya pada portal rasmi www.hasil.gov.my atau hadir ke cawangan LHDN berhampiran," kata kenyataan itu.

Menurut LHDN, berdasarkan maklumat yang dikumpulkan menerusi laporan di media massa, bagi tahun 2021 untuk tempoh 1 Januari sehingga 9 Februari sahaja, sebanyak 18 kes sindiket penyamaran sebagai pegawai LHDN melibatkan kerugian sekurang-kurangnya berjumlah RM636,311.00 telah dilaporkan.

Pada masa sama, LHDN berkata, sehingga kini, 2,927,400 e-mel telah dikirim kepada alamat e-mel yang terdapat dalam pangkalan data LHDN dan 814,865 e-mel masih lagi dalam peringkat proses pengiriman.

"LHDN sentiasa melakukan usaha-usaha yang perlu dalam memberikan kesedaran kepada orang ramai agar sentiasa cakna atau ambil tahu isu berkaitan aktiviti scammer ini.

"Selain daripada peringatan melalui saluran media massa dan media sosial, LHDN turut menggunakan saluran e-mel [email protected] untuk menghantar infografik peringatan berkaitan aktiviti scammer," katanya.

Orang ramai dinasihatkan membuat semakan modus operandi sindiket penipuan ini di portal rasmi LHDN dan sebarang pertanyaan mengenai perkara ini boleh dibuat secara dalam talian melalui Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara) dan Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDNM di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!