PKPD di seluruh pangsa, perumahan Town Villa, Sibu Jaya

Amar Douglas
Amar Douglas
A
A
A

KUCHING - Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di seluruh kawasan Rumah Pangsa dan Perumahan Town Villa, Sibu Jaya bermula tengah malam ini, kata Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri (JPBN) berkata, keputusan pelaksanaan PKPD itu dibuat setelah pekan Sibu Jaya mencatatkan 247 kes positif Covid-19 dan 129 kes dilaporkan di kawasan Rumah Pangsa dan Perumahan Town Villa.

Uggah turut mengingatkan pemilik premis perniagaan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta menolak sebarang permintaan untuk majlis makan malam atau acara besar di tempat tertentu.

“Walaupun agensi penguatkuasa telah menjalankan peranan mereka dalam memastikan premis mematuhi SOP, peniaga juga diminta untuk bertanggungjawab bersama memantau premis mereka dan memainkan peranan dalam membendung penyebaran Covid-19,” katanya dalam sidang akhbar harian JPBN di sini pada Rabu.

Sarawak pada Rabu merekodkan 135 kes positif Covid-19, menjadikan keseluruhan kes positif meningkat kepada 6,006 kes.

Sementara itu, 125 kes baharu telah pulih dan dibenarkan discaj, menjadikan jumlah keseluruhan kes yang telah pulih atau dibenarkan discaj meningkat kepada 4,101 orang atau 68.28 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. - Bernama

Artikel Berkaitan: