Menyamar polis rompak RM50

Tertuduh (tengah) diiringi polis ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada Rabu.
Tertuduh (tengah) diiringi polis ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada Rabu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang buruh mengaku bersalah atas pertuduhan merompak seorang remaja dan menyamar sebagai polis di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu di sini pada Rabu.

Tertuduh, Megat Mohd Irash Mohd Zainuri, 41, membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa merompak wang tunai berjumlah RM50 milik mangsa yang berusia 17 tahun di tepi jalan Kampung Rhu Rendang, Marang pada 3 Februari lalu kira-kira jam 1 petang.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa menyamar sebagai penjawat awam iaitu seorang polis dengan membuat pemeriksaan lesen memandu terhadap mangsa di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Tertuduh yang berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan itu, boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, Nooriah menetapkan 28 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk fakta dan hukuman.

Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, tertuduh turut dikenakan syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.