Institut latihan kemahiran swasta 'nazak'

Pelatih dalam bidang pertanian dan perladangan di Institut Agro Usahawan (IGROW) Kampung Gajah, Perak, menjalani latihan secara praktikal dan bersemuka di Kompleks Desa Warisan IGROW sebelum PKP1.0.
Pelatih dalam bidang pertanian dan perladangan di Institut Agro Usahawan (IGROW) Kampung Gajah, Perak, menjalani latihan secara praktikal dan bersemuka di Kompleks Desa Warisan IGROW sebelum PKP1.0.
A
A
A

IPOH - Seramai 15,000 hingga 20,000 kakitangan termasuk tenaga pengajar di 350 buah Institut Latihan Kemahiran Swasta (ILKS) kini berhadapan dengan risiko kehilangan pekerjaan ekoran kesan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Januari lalu.

Turut terkesan ialah 10,000 orang pelatih yang sedang menjalani pelbagai latihan kemahiran di seluruh negara.

Pengerusi Gabungan Institut Latihan Kemahiran Swasta Bumiputera (GILKSB), Nordin Abdul Malek ketika dihubungi Sinar Harian berkata, kesemua ILKS yang berdaftar dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia itu mengalami kerugian besar selepas tidak dibenarkan beroperasi seperti mana biasa.

Menurutnya, dalam tempoh setahun selepas PKP dikuatkuasakan, sumber pendapatan ILKS jatuh sehingga 80 peratus kerana kerajaan tidak membenarkan kemasukan pelatih baharu.

"Pada masa ini, terdapat lebih kurang 500 ILKS yang berdaftar dengan JPK tetapi dipercayai hanya tinggal 350 buah ILKS sahaja yang benar-benar aktif sehingga tahun lalu.

"Namun, akibat perlaksanaan PKP, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan sebagainya, kami dapati 350 buah ILKS ini juga sedang nazak dan berhadapan dengan risiko ditutup dalam masa terdekat jika PKP berterusan untuk satu jangka masa yang panjang lagi.

"Jumlah pelatih yang direkodkan sebelum PKP1.0, sadalah seramai 20,000 orang pelatih tetapi jumlah itu jatuh mendadak sehingga tinggal 10,000 pelatih sahaja," katanya.

Menurut beliau lagi, selain memberi kesan kepada lebih 15,000 hingga 20,000 tenaga kerja di institusi berkenaan, penutupan ILKS dan gangguan operasi yang sedang berlaku pada ketika ini akan mengakibatkan masalah besar terhadap bekalan tenaga kerja berkemahiran tempatan kepada sektor industri.

Artikel Berkaitan:

Nordin menjelaskan, sistem pembelajaran ILKS berbeza dengan sistem akademik seperti institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan lain-lain kerana ia mengkhusus kepada latihan praktikal dan amali yang perlu bersemuka sekurang-kurangnya 70 peratus dalam keseluruhan modul latihan mahupun pembelajaran.

Jelasnya, walaupun kerajaan membenarkan pembelajaran secara dalam talian dijalankan, pendekatan tersebut hanya merangkumi 20 peratus daripada keseluruhan pembelajaran.

"Kebanyakan pelajar yang cenderung bidang kemahiran atau 'hands on' tidak menggemari pembelajaran teori, lebih-lebih lagi secara dalam talian.

"Disebabkan itu, ramai juga pelatih yang berhenti separuh jalan kerana bosan dan tidak dapat menimba kemahiran yang dilaksanakan secara dalam talian ini," katanya.

Nordin merayu kerajaan membenarkan ILKS menjalankan operasi latihan dengan kaedah dan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Antara yang dicadangkan termasuklah membenarkan latihan dijalankan dengan mengehadkan bilangan pelajar pada satu-satu masa seperti 15 orang bagi setiap kelas.

Selain itu, beliau berkata, ILKS perlu memastikan SOP Covid-19 dipatuhi terutama melibatkan pemakaian pelitup muka, proses sanitasi dan penjarakan fizikal.

Katanya, kerajaan perlu membenarkan ambilan baharu kemasukan pelatih sepanjang tahun dengan keutamaan diberikan kepada latihan dengan jaminan pekerjaan atau peluang perniagaan.

"Kesemua langkah-langkah keselamatan dan kesihatan dicadangkan itu bertepatan dengan amalan pekerjaan industri yang dipatuhi oleh ILKS melalui standard Latihan Kemahiran Kebangsaan (NOSS) seperti mana amalan pekerjaan di industri.

"Oleh itu, secara logiknya, jika industri sudah boleh beroperasi, sepatutnya ILKS juga dibenarkan berbuat sedemikian," katanya.

Dalam pada itu, Nordin berkata, GILKSB juga meminta kerajaan menyediakan insentif khas kecemasan dan bantuan modal kepada ILKS bagi meringankan beban yang sedang ditanggung seperti bantuan upah gaji kepada semua kakitangan mereka untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan bermula Mac depan.

Katanya, kerajaan juga perlu memberi perhatian serius terhadap keperluan ILKS untuk meneruskan operasi sepanjang tempoh PKP kerana peranan mereka sangat penting sebagai pelengkap kepada sistem latihan negara.