33 kes tipu menyamar kawan babit kerugian lebih RM180,000

Kes terbaharu pada tahun ini melibatkan seorang pekerja kilang wanita berusia 19 tahun yang ditipu suspek menyamar kenalannya menyebabkan kerugian RM1,000 pada dua hari lepas.
Kes terbaharu pada tahun ini melibatkan seorang pekerja kilang wanita berusia 19 tahun yang ditipu suspek menyamar kenalannya menyebabkan kerugian RM1,000 pada dua hari lepas.
A
A
A

MELAKA - Sebanyak 33 kes penipuan dengan cara penjenayah menyamar sebagai rakan untuk meminjam wang daripada mangsa menerusi aplikasi WhatsApp melibatkan kerugian sebanyak RM187,700, dilaporkan sepanjang tahun lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka Superintendan E Sundra Rajan berkata, manakala sejak Jan lepas hingga semalam, sebanyak tiga kes penipuan sama dilaporkan melibatkan kerugian sebanyak RM11,500.

"Kes terbaharu dilaporkan pada tahun ini melibatkan seorang wanita berusia 19 tahun yang bekerja sebagai pekerja kilang ditipu suspek menyamar kenalannya menyebabkan kerugian RM1,000 pada dua hari lepas.

Mangsa menerima WhatsApp daripada suspek yang menyamar kenalannya meminta bantuan kewangan kerana mendakwa akaun banknya disekat," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Beliau berkata, mangsa yang tinggal di Masjid Tanah itu tanpa rasa curiga telah membuat pindahan wang ke akaun yang diberi suspek namun menyedari dirinya ditipu selepas kenalan sebenarnya menghubungi mangsa dan memberitahu akaun WhatsApp beliau telah digodam.

Katanya, mangsa dimaklumkan kenalan sebenarnya bahawa suspek menggodam akaun WhatsApp tersebut untuk menipu dan sehingga kini dua lagi kenalan kepada kenalan sebenar mangsa yang akaun WhatsApp digodam turut ditipu menggunakan modus operandi sama.

Sundra Rajan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Beliau berkata, sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan jangan mudah percaya pada panggilan atau WhatsApp dari kenalan yang tidak dikenali yang mendakwa kenalan lama kerana suspek juga berkemungkinan menggunakan gambar rakan anda untuk menipu.

Artikel Berkaitan:

"Buat pengesahan terlebih dahulu dengan menghubungi rakan atau keluarga anda melalui nombor sebenar mereka dan berhati-hati berkongsi maklumat peribadi di media sosial agar tidak disalah guna sindiket penipuan," katanya.

Beliau berkata, orang ramai juga disaran tidak membenarkan kenalan mereka menggunakan akaun bank sebagai akaun tumpang kerana dikhuatiri untuk tujuan penipuan dan semak nombor telefon atau nombor akaun yang meragukan di laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule. - Bernama