Ikan bilis dihukum, ikan jerung terlepas tindakan: Raja Bahrin

Raja Kamarul Bahrin
Raja Kamarul Bahrin
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Parti Amanah Negara (Amanah) Terengganu kecewa dengan kejadian lima pekerja khidmat penghantar makanan Foodpanda disaman RM1,000 ketika berehat dan makan di wakaf terbuka di Kuala Nerus.

Pengerusinya, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, insiden itu menunjukkan polisi dua darjat antara rakyat biasa dan golongan kenamaan.

"Ikan bilis dihukum manakala ikan jerung terlepas dari sebarang tindakan.

“Mereka hanya dapat sekitar RM3 hingga RM5 bagi satu penghantaran dan untuk kumpul wang denda RM1,000, mereka perlu menghantar makanan sebanyak 200 kali atau lebih kurang sebulan pekerjaan kalau pesanan makan laris," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, rakyat tidak mempertikaikan peraturan serta prosedur operasi standard (SOP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi mereka mempersoalkan sikap pilih bulu dan kurang budi bicara oleh pihak berkuasa.

“Ramai VIP (orang kenamaan) yang berkumpul tanpa mematuhi penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka secara terbuka tanpa dikenakan tindakan atau amaran pun,” katanya.

Bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, penghantar makanan Foodpanda tidak mempunyai pejabat untuk pulang berehat dan ada kalangan mereka tinggal jauh dari lokasi bertugas ketika ditahan.

Katanya, dengan pendapatan tidak seberapa mereka akan hilang waktu kerja dan terpaksa menanggung kos minyak motosikal untuk pergi dan pulang makan serta berehat di rumah.

Artikel Berkaitan:

“Kita patut berbangga kerana anak muda Foodpanda ini sanggup memilih bekerja keras ketika panas dan hujan menyara hidup secara halal dan bukan mengemis meminta minta, tetapi malangnya mereka diuji dengan hukuman tanpa budi bicara,” katanya.

Menurut Raja Kamarul Bahrin, lebih ironi kejadian berkenaan berlaku di kawasan ahli Parlimennya yang bertaraf menteri terlibat insiden tidak kuarantin selepas pulang dari luar negara..

Beliau berkata, pemimpin itu tidak dikenakan tindakan sewajarnya oleh kerajaan sehingga dibongkar di Parlimen dan mendapat tekanan dari rakyat.

“Insiden saman RM5,000 ke atas lima penghantar makanan Foodpanda ini boleh diibaratkan membunuh nyamuk dengan bedil dan memburu gajah dengan jarum,” katanya.