Hadi tawar diri jadi kumpulan terawal terima vaksin Covid-19

Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menawarkan diri untuk menjadi sebahagian daripada kumpulan terawal di negara ini menerima suntikan vaksin Covid-19.

Beliau berkata, ia sebagai sokongan terhadap usaha kerajaan memerangi pandemik itu dan turut memaklumkan telah mendapat taklimat berkaitan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Katanya, taklimat diberikan khususnya mengenai kepentingan terhadap usaha meningkatkan imuniti kelompok dalam masyarakat supaya mempunyai daya tahan terhadap penyebab jangkitan penyakit tersebut.

"Justeru saya ingin menyatakan kesediaan untuk menjadi sebahagian daripada penerima terawal suntikan vaksin Covid-19 bersama-sama Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sebagai tanda sokongan terhadap usaha kerajaan memerangi pandemik ini.

"Pada masa sama, saya menyeru semua pihak untuk bersama-sama berganding bahu dan menggembleng usaha untuk memerangi wabak Covid-19 tanpa mengira perbezaan fahaman politik.

"Fokus utama kita sekarang ialah memastikan keselamatan rakyat terjamin dan ekonomi negara kembali pulih," katanya dalam kenyataan Facebooknya pada Selasa.

Kerajaan menyasarkan 70 peratus rakyat akan menerima vaksin pada suku pertama 2021 dengan tumpuan kepada golongan dewasa untuk mencapai imuniti kelompok.

Artikel Berkaitan: