Teknik jaga imej kuku

A
A

Kecantikan tiada ertinya jika satu sisi anggota badan diabaikan. Kuku tangan dan kaki turut perlu diberi perhatian

WANITA cantik biasanya diadili dari pelbagai aspek. Dari hujung rambut hinggalah ke hujung kaki, perlu dilihat sempurna.

Namun seperti satu kebiasaan, anggota sisi tersembunyi iaitu kuku tangan dan kuku kaki adalah perkara terakhir yang dilakukan. Paling tidak, hanya sekadar potong apabila kuku panjang atau kotor.

Mungkin penjagaan asas ini hanya sesuai bagi mereka yang tidak ada masalah kuku. Namun, bagi mereka yang berdepan hal-hal seperti kuku kusam, panjang, pecah, kekuningan, jangkitan fungus, kuku kering dan rapuh sememangnya memerlukan penjagaan rapi.

Bagi membantu masalah ini, Femina berkongsi cara penjagaan kuku secara tradisional yang pastinya turut setanding rawatan moden. Pada kali ini, pemilik butik Ummi Tradisional Spa, Umi Sarah Kamaruddin memberi beberapa panduan.

Menurut Umi Sarah, kebanyakan pelanggan yang datang ke spanya memiliki masalah kuku tangan dan kaki yang dijangkiti fungus.

Katanya, kulat yang menyebabkan kuku bertukar warna. Akibatnya, ia (kuku) menjadi kusam disebabkan pengumpulan sisa bawah kuku yang dibiarkan terlalu lama.

"Ada juga tabiat yang suka mengigit kuku menyebabkan ada luka kecil pada hujung kuku. Hal ini juga akan membenarkan bakteria atau kulat masuk sekali gus mengakibatkan jangkitan. Kesannya, kuku akan menjadi kering, rosak, rapuh, cengkam dan berbau busuk," jelas beliau.

Untuk itu, Umi Sarah mencadangkan kepada pembaca beberapa teknik tradisional yang boleh diamalkan:

Guna bahan organik

Ia meliputi pakej handspa, footspa dan crack heel treatment.

a) Handspa: Caranya, tangan dan kuku direndam di dalam bekas yang berisi air lemon selama beberapa minit. Setelah itu, kuku akan digosok dengan hampas kelapa untuk membuang sel kulit mati. Kemudian, kotoran di bawah kuku akan dibersihkan sebelum minyak kelapa dan minyak aroma terapi disapu.

b) Footspa: Kaki akan direndam dengan air limau dan garam bukit bagi membuang sel kulit mati di kuku kaki. Kemudian, keseluruhan kaki akan digosok dengan kelapa parut dengan menggunakan sintok. Sintok ialah bahan orang zaman dulu yang digunakan untuk membersih dan menyental seluruh kaki dan kuku yang keras, berkerak atau kasar. Bahagian kuku akan direndam dengan air suam selama lima minit. Kemudian sapu minyak aroma terapi.

c) Crack heel treatment: Sama proses dengan footspa cuma selepas selesai, bahagian kaki yang keras akan dikikir. Sapu minyak aroma terapi dan balut daun pisang di kedua belah kaki supaya minyak diserap pada keseluruhan bahagian kaki dan kuku.

Rawat kuku di rumah guna bahan semula jadi

  1. Limau nipis

Buah limau ini akan digosok pada kuku dan biarkan selama beberapa minit kemudian cuci. Kemudian kuku ini akan direndam dalam air yang hangat dan hasilnya kuku anda akan kelihatan cantik.

  1. Kunyit hidup

Untuk menghilangkan bau pada kuku. Parutkan kunyit dengan minyak kelapa dan titiskan kebahagian kuku bermasalaah. Akhir sekali lap dengan kering dan lihatlah hasilnya.

  1. Hampas kelapa

Sediakan hampas kelapa campur dengan minyak kelapa dan sental di jari dan kuku. Hasilnya kuku bersinar dan putih.

  1. Lidah buaya

Potong lidah buaya untuk dapatkan lendirnya dan oleskan pada kuku.

5. Rendaman pokok semalu

Pokok semalu direbus hingga mendidih. Air rebusan itu diletakkan dalam bekas besar, setelah air suam rendam tangan atau kaki. Ia bagi membantu masalah kuku cengkam.

6. Rendaman minyak zaitun

Ambil minyak zaitun dan rendam kuku selama 10 hingga 15 minit. Ia bagi mengatasi masalah kuku rapuh.

  1. Bawang putih

Bawang putih sangat baik untuk kuku yang mudah patah. Caranya gosokkan bawang putih pada kuku yang rapuh sekerap mungkin. Ia dapat membantu menguatkan struktur kuku anda. Bawang putih juga boleh menggilatkan. Kuku akan cantik bersinar.