Lelaki ditahan lepas tembakan amaran kepada bekas jiran

Suspek (tengah) ditahan untuk siasatan lanjut selepas melepaskan dua das tembakan dan mengugut mangsa pada Ahad.
Suspek (tengah) ditahan untuk siasatan lanjut selepas melepaskan dua das tembakan dan mengugut mangsa pada Ahad.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seorang lelaki ditahan kerana melepaskan tembakan amaran menggunakan senapang angin terhadap seorang lelaki yang juga bekas jirannya dalam kejadian di sebuah rumah di Sungai Semambu di sini, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, sebelum kejadian, lelaki itu yang berusia 30 tahun didatangi suspek dalam keadaan marah sambil membawa senapang angin.

"Kejadian berlaku pada jam 1 pagi ketika mangsa berada di rumah. Dia terdengar bunyi pintu rumahnya diketuk dan tingkap rumah dipecahkan. Mangsa kemudian bergegas membuka pintu rumah dan mendapati suspek yang juga bekas jirannya berada di hadapan pintu. Suspek mengeluarkan senapang angin ke arah mangsa dan memaksanya mengaku jika pernah melakukan hubungan seks dengan isteri suspek.

"Suspek berang lalu melepaskan tembakan amaran selepas mangsa menafikan bahawa dia pernah melakukan seks dengan isterinya. Selepas melepaskan dua das tembakan amaran, suspek mengugut akan membunuh mangsa sekiranya mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Tambahnya, suspek ditahan bersama senapang angin itu.

"Suspek sebelum ini tinggal berdekatan iaitu selang beberapa buah rumah dengan rumah yang disewa mangsa. Mereka saling mengenali antara satu sama lain.

"Suspek berpindah ke kawasan lain sejak April tahun lalu. Kes disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan: