Sarjan, 7 Orang Asli didakwa sebabkan kematian

Lapan suspek termasuk seorang tentera didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini menyebabkan kematian seorang lelaki, enam tahun lalu.
Lapan suspek termasuk seorang tentera didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini menyebabkan kematian seorang lelaki, enam tahun lalu.
A
A
A

IPOH - Seorang tentera berpangkat Sarjan bersama tujuh lelaki Orang Asli mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini, atas kesalahan menyebabkan kematian Mohd Azrin Mohd Arif, enam tahun lalu.

Hanny Itam, 34 bersama Norazizan Awang, 34, Lemay Uda Jamil, 34, Laies Pa Ngah, 36, Ramlan Dollah, 24, Jassiva Pandak, 29, Azwan Alim, 28 dan Irwan Ngah, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara bersama di hadapan Hakim Datuk Julie Lack Abdullah.

Mereka didakwa mencapai niat bersama menyebabkan kematian Mohd Azrin, 36, di Kampung Chenderung Kelubi, Tanjung Tualang, Kampung Gajah antara 12 tengah malam dan 3.30 pagi pada 5 April 2013.

Kesemua mereka dituduh mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 30 tahun dan denda.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Naidatul Athirah Azman manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Julie Lack menasihatkan tertuduh supaya melantik peguam untuk mewakili masing-masing.

Beliau kemudiannya menetapkan 11 Mac depan untuk sebutan semula kes dan tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin.

ARTIKEL BERKAITAN Sarjan ditahan bantu siasatan kes bunuh 6 tahun lalu

Artikel Berkaitan: