Tahan 'godaan' rasuah

Musa Hassan
Musa Hassan
A
A
A

SHAH ALAM - Rangkaian ekonomi hitam bergantung kepada jaringan perlindungan penguat kuasa dan ahli politik yang tidak berintegriti serta mengalah kepada godaan rasuah demi kepentingan diri.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, golongan seperti itu boleh dibeli dan disogok oleh orang perantara aktiviti hitam agar memberi perlindungan dan tidak mengambil tindakan.

“Ini akan menghancurkan sistem keadilan dan Rukun Negara tidak akan wujud lagi. Ia juga akan mewujudkan musuh dalam selimut di setiap lapisan badan berkuasa.

“Mereka yang terlibat itu wajib dikesan dan diambil tindakan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Musa berkata, ekonomi gelap melibatkan perniagaan yang dijalankan secara haram sama ada secara perseorangan atau sindiket seperti pelaburan forex dan scam penipuan yang mendatangkan kerugian kepada orang ramai.

Menurutnya, ketua-ketua sindiket kegiatan haram itu selalunya menunjukkan dirinya sebagai peniaga berjaya serta mempunyai rangkaian perniagaan yang banyak.

“Oleh itu mereka memasang kaki untuk mengenali pegawai-pegawai penguat kuasa dan orang-orang politik yang boleh berkompromi untuk menentukan perniagaan haram mereka berjalan tanpa gangguan.

“Di sini, hubungan terjalin dan mereka akan membayar kepada penjawat awam dan orang politik serta berkawan rapat dengan mereka.

Artikel Berkaitan:

“Apabila hubungan mereka semakin rapat, maka ketua-ketua sindiket ini boleh mencaturkan siapa pegawai penguat kuasa yang patut diletakkan di sesuatu tempat bertugas yang strategik untuk menentukan kegiatan mereka tidak diganggu,” katanya.

Beliau berkata, jika tidak ditangani, ketua-ketua sindiket tersebut akan mewujudkan kerjasama (kartel) untuk mengawal perniagaan haram mereka secara monopoli di sesuatu kawasan agar sindiket lain tidak boleh masuk tanpa kebenaran mereka.

“Ketua-ketua sindiket haram itu akan berlagak sebagai orang yang membantu masyarakat dengan memberikan bantuan kewangan kepada orang-orang politik bila keadaan memerlukan.

“Itu sebab ada di antara mereka diberi anugerah darjah kebesaran daripada Ketua Negara, Ketua Negeri atau Raja-Raja,” ujarnya.

Justeru, Musa mencadangkan agar tindakan tegas perlu diambil terhadap mereka yang menerima rasuah daripada pihak yang menentukan kegiatan haram itu sewenang-wenangnya.

“Untuk menangani gejala itu, kita perlukan orang-orang politik dan penjawat awam yang berintegriti tinggi kerana sindiket tersebut menjalankan kegiatan jenayah yang boleh mendatang kemudaratan kepada masyarakat dan menjadikan masyarakat mangsa mereka.

“Undang-undang terdahulu seperti Ordinan Darurat (EO) 1969 berkesan untuk mengambil tindakan terhadap ketua-ketua sindiket kerana mereka tidak terlibat secara langsung berikutan menggunakan orang bawahan mereka.

“Mereka hanya mengumpul hasil haram dan menyucikannya. Bagaimanapun undang-undang EO dimansuhkan bersama Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) pada tahun 2011 di mana semua mereka (banduan) telah dibebaskan,” katanya.