Wisma Putra sedia bantu bawa pulang pekerja Malaysia di Myanmar

Kamarudin Jaffar
Kamarudin Jaffar
A
A
A

SHAH ALAM – Wisma Putra akan membantu dan membawa pulang pekerja rakyat Malaysia di perairan Myanmar yang terputus hubungan dan bekalan makanan sejak Isnin lalu.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar bagaimanapun berkata, langkah itu sekiranya keadaan mengancam keselamatan pekerja Malaysia di sana.

“Jika dan apabila keadaan mengancam keselamatan mereka, kita akan membantu dan membawa pulang. Tapi setakat ini kita masih memantau keadaan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Terdahulu, sebuah akhbar tempatan melaporkan seramai 200 pekerja rakyat Malaysia yang bertugas di pelantar minyak Yetagun di perairan Myanmar terputus hubungan dengan daratan dan kehabisan bekalan makanan disebabkan konflik rampasan kuasa yang berlaku di Myanmar.

Petronas dalam satu kenyataan kemudian memaklumkan bahawa mereka akan bekerjasama rapat dengan Kedutaan Besar Malaysia di Myanmar, Wisma Putra dan semua pihak berkuasa yang berkaitan bagi memastikan keselamatan seramai 155 pekerja kontraktornya.

Menurut syarikat itu, mereka kini sedang meningkatkan usaha dan akan terus berhubung dengan pekerja serta syarikat kontraktor yang terlibat di pelantar minyak berkenaan.

Katanya, sejumlah 36 pekerja lain di bawah syarikat kontraktor yang dilantik serta dua kakitangan Petronas telah dibawa ke hotel berdekatan dengan selamat untuk menjalani sesi rehat dan rawat serta mengambil kira keperluan kuarantin Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Petronas pastikan keselamatan pekerja di Myanmar

Artikel Berkaitan: