Pengusaha premis pakaian mohon kebenaran operasi

 Sebahagian pengusaha kedai pakaian di kompleks membeli-belah Star Parade memohon kelonggaran dan kebenaran premis mereka beroperasi semula.
Sebahagian pengusaha kedai pakaian di kompleks membeli-belah Star Parade memohon kelonggaran dan kebenaran premis mereka beroperasi semula.
A
A
A

ALOR SETAR - Beberapa pengusaha kedai pakaian di kompleks membeli-belah Star Parade, di sini memohon kelonggaran supaya premis mereka dibenarkan beroperasi semula ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa dua.

Pengerusi Badan Pengurusan Bersama Star Parade Yong Sau Kee berkata, sebelum PKP fasa dua, pemilik kedai pakaian dibenarkan membuka kedai tetapi dikehendaki mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan mengehadkan bilangan pelanggan dan tidak dibenarkan mencuba.

Beliau yang juga pemilik butik pakaian berkata, bagaimanapun mereka terkilan kerana ketika sektor lain dibenarkan beroperasi, mereka masih perlu menunggu.

"Kedai gunting rambut akan memiliki kontak rapat dibenarkan beroperasi tapi kenapa menidakkan hak kedai pakaian dan kasut.

"Kawalan pematuhan SOP di kompleks berkenaan juga lebih tegas dan selamat berbanding pasar malam dan pasar pagi," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Ahad.

Menurutnya, pengusaha kedai pakaian berharap kerajaan dapat memberi kelonggaran kepada sektor pakaian kerana mereka mengalami kesulitan sejak PKP fasa satu apabila tidak dapat berniaga pada Hari Raya Puasa dan kini terlepas peluang untuk berniaga waktu Tahun Baharu Cina sedangkan stok telah ditempah.

Penolong Setiausaha Badan Pengurusan Bersama, Ho Lip Huat berkata, beliau terpaksa berdepan dengan kos tinggi gaji pekerja dan bayaran ansuran kedai yang mencecah RM10,000 sejak Mac tahun lepas.

Lip Huat berkata, beliau dan isterinya sudah tidak menerima gaji sejak PKP kerana wang telah dihabiskan untuk membiayai ansuran kedai dan gaji pekerja.

Artikel Berkaitan:

Katanya, suasana juga sunyi kerana kira-kira 80 peratus pengusaha di pasar raya berkenaan terdiri daripada kedai pakaian dan kasut yang tidak dibenarkan beroperasi semasa PKP.

Sementara itu, Pengurus Operasi, Kuan Kok Hin berkata, terdapat kira-kira 200 unit kedai di kompleks membeli-belah berkenaan dengan lebih daripada 100 telah disewa untuk menjadi unit komersial dan selebihnya disewa untuk stor penyimpanan stok.

Beliau berkata, perlaksanaan PKP menyebabkan bilangan pengunjung ke kompleks berkenaan berkurangan menyebabkan bisnes mereka jatuh hingga 90 peratus.

Tambahnya, pihak pengurusan bersama tidak dapat mengurangkan kos pengurusan walaupun pendapatan dan bilangan pengunjung berkurangan kerana terpaksa membiayai kos utiliti, keselamatan dan penyelenggaraan.

Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Darul Aman, Yu Kuan Khai berkata, pihaknya akan cuba membawa masalah pengusaha untuk perhatian Majlis Keselamatan Negara (MKN).