Cuci kereta percuma buat 'frontliners'

Perkhidmatan cucian percuma untuk frontliners dijalankan sepanjang Februari.
Perkhidmatan cucian percuma untuk frontliners dijalankan sepanjang Februari.
A
A
A

BAYAN LEPAS - Bermacam cara yang dilakukan bagi menghargai petugas barisan hadapan yang selama ini berkhidmat tanpa kenal erti penat dalam usaha memerangi wabak Covid-19.

Ada pihak yang bermurah hati menaja makan dan minum anggota yang bertugas, tidak kurang juga ada yang menyumbangkan peralatan perlindungan diri (PPE) untuk keselamatan mereka malah ada yang melukis mural sebagai tanda terima kasih atas jasa dicurahkan.

Berbeza dengan pendekatan yang dilakukan pengurusan Pusat Cucian Kereta Asiawash yang terletak di Sungai Tiram di sini yang menghargai 'frontliners' dengan memberi perkhidmatan cucian dan sanitasi kereta secara percuma.

Pengarah Urusannya, Datuk Ismail Jusoh berkata, pihaknya terpanggil untuk melaksanakan program penghargaan itu sebagai tanda sokongan kepada frontliners yang telah berkorban dalam menjaga keselamatan dan kesihatan rakyat.

Ismail
Ismail

Menurutnya, dengan cara ini ia sekaligus menunjukkan komitmen pihaknya dalam usaha bersama-sama memerangi wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan ketika ini.

"Program khas untuk frontliners ini dilakukan sepanjang bulan Februari dan ia terbuka untuk semua petugas sama ada yang berkhidmat di sektor kesihatan, penguatkuasa dan keselamatan ataupun pihak berkuasa tempatan.

"Mereka hanya perlu menunjukkan kad kuasa atau dokumen pengenalan diri kepada pekerja kami dan boleh terus mendapatkan perkhidmatan cucian serta sanitasi secara percuma," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Ismail berkata, cucian percuma ini bukan sahaja disediakan kepada mereka yang membawa kereta persendirian malah turut diberikan untuk kenderaan pasukan atau jabatan.

Katanya, perkhidmatan yang disediakan di pusat cuciannya bukan sahaja menitik berat aspek kebersihan malah turut menyarankan pengguna mengutamakan pencegahan jangkitan kuman dengan melakukan proses pembasmian kuman menggunakan cecair sanitasi yang diiktiraf Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Dengan adanya perkhidmatan ini mungkin akan dapat membantu menjaga keselamatan penumpang kenderaan tersebut sekaligus sebagai usaha untuk memutuskan rantaian Covid-19 di negara kita,"katanya.

Mengulas mengenai kebenaran untuk beroperasi semula seperti diumumkan kerajaan baru-baru ini, Ismail berkata, beliau serta pengusaha pusat cucian kereta lain kini boleh menarik nafas lega apabila dapat menjana semula pendapatan selepas menanggung kerugian disebabkan tidak dapat beroperasi dalam tempoh PKP sebelum ini.