X

Kindly register in order to view this article
!

Gambia jadi pejuang Palestin

Gambia berjaya mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Jenayah Antarabangsa bagi mendengar kes tentang kekejaman Israel ke atas Palestin. - AFP
A
A

Susunan oleh MIR AZRI SHAHARUDIN

SETELAH Iran berjaya dalam pemohonan untuk perbicaraan membabitkan kes sekatan ekonomi Amerika Syarikat (AS) di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), kini giliran Palestin pula dibenarkan membawa kes kekejaman Israel di wilayahnya di tribunal tersebut.

Keputusan itu diumumkan oleh ICC pada Jumaat dengan menyatakan ia mempunyai kuasa untuk mendengar kes-kes jenayah perang yang dilakukan oleh tentera rejim Zionis di Tebing Barat, Baitulmaqdis Timur dan Genting Gaza.

Penghakiman itu dibuat selepas pendakwa raya ICC, Fatou Bensouda dari Gambia sebelum ini pernah mengemukakan cadangan untuk membuka siasatan mengenai tuduhan jenayah perang ke atas Israel di wilayah-wilayah diduduki Israel sejak 1967.

Gambar fail menunjukkan serangan tentera Israel di Gaza pada tahun 2014. - AFP
Gambar fail menunjukkan serangan tentera Israel di Gaza pada tahun 2014. - AFP

Pendakwa raya ICC tersebut berkata, beliau mahu menyiasat insiden yang berlaku semasa perang Gaza tercetus antara gerakan Hamas dan rejim Zionis serta menyatakan terdapat asas-asas munasabah bahawa pihak berkuasa Israel melakukan jenayah perang kerana memindahkan pendatang Yahudi ke wilayah dikuasai mereka.

Berdasarkan Konvensyen Geneva, perpindahan orang awam ke kawasan yang diduduki oleh sesebuah negara adalah dilarang sama sekali.

Akhbar The Guardian melaporkan, kes tersebut mungkin boleh diperluaskan lagi dengan siasatan terhadap tuduhan tentera Israel membunuh lebih 200 penduduk Palestin termasuk lebih 40 kanak-kanak yang menyertai protes di Gaza.

Bagaimanapun, berikutan Palestin memiliki status sebagai wilayah diduduki Israel berbanding sebuah negara berdaulat menyebabkan beliau terpaksa mendapatkan pengesahan ICC sama ada ia mempunyai kuasa untuk mendengar kes tersebut.

Difahamkan, ICC yang berpusat di The Hague, Belanda bukan sebuah badan kehakiman di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ia ditubuhkan menerusi Statut Rom dan satu perjanjian antarabangsa mengiktiraf ICC selain merupakan badan kehakiman yang bebas daripada kuasa PBB.

Sebelum ini, Palestin menggunakan status sebagai pemerhati PBB yang diperolehinya pada tahun 2012 untuk menyertai ICC dan telah mendesak supaya siasatan dilakukan terhadap rejim Zionis yang menduduki wilayahnya sejak lebih 50 tahun lalu.

Bagaimanapun, ICC akhirnya membuat keputusan yang berpihak kepada Palestin selepas diputuskan oleh majoriti hakim bahawa ia mempunyai kuasa untuk mendengar kes kekejaman itu.

Dalam penghakiman itu juga, hakim-hakim tribunal antarabangsa itu berkata, kuasa mahkamah tersebut juga meliputi wilayah-wilayah seperti di Gaza, Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur yang diduduki oleh Israel sejak tahun 1967.

Fatou Bensouda yang bertanggungjawab mencadangkan siasatan jenayah perang dilancarkan ke atas Israel. - AFP
Fatou Bensouda yang bertanggungjawab mencadangkan siasatan jenayah perang dilancarkan ke atas Israel. - AFP

Berikutan keputusan tersebut, Perdana Menteri Palestin, Mohammed Shtayyeh menganggap ia sebagai kemenangan dan keadilan buat mangsa-mangsa yang menjadi korban kekejaman Israel di wilayah tersebut.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu membidas keputusan itu dengan menyatakan ia membuktikan bahawa mahkamah tersebut merupakan sebuah badan politik dan bukannya sebuah institusi kehakiman selain menegaskan Tel Aviv bukannya anggota ICC.

Menurut akhbar The Guardian lagi, walaupun Israel tidak menandatangani perjanjian Statut Rom, ICC diberikan mandat untuk menghukum penduduk dan bukannya berdasarkan sesebuah negara.

Dalam pada itu, pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dikatakan tidak bersetuju dengan keputusan tersebut.

Jurucakap Jabatan Negara AS, Ned Price menyatakan Washington menzahirkan kebimbangan yang serius ekoran keputusan mahkamah tersebut.

Ini bukan kali pertama Gambia memperjuangkan isu tentang umat Islam dan penduduk minoriti Muslim yang berdepan penindasan.

Negara kecil di Afrika Barat dan mempunyai populasi lebih 2.4 juta penduduk itu juga pernah memfailkan saman ke atas Myanmar di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2019 serta mendapat sokongan 57 buah negara Persidangan Kerjasama Islam (OIC) berhubung isu etnik Muslim Rohingya.

Kes tersebut masih berlangsung dan ICJ menetapkan tarikh Mei depan yang memerlukan Banjul mengemukakan kenyataan bertulis berhubung hujahnya tentang dakwaan Myanmar melakukan kekejaman terhadap penduduk Rohingya.

Hujah itu diperlukan setelah Yangon menolak tuduhan bahawa ia melakukan kekejaman yang ke atas penduduk Rohingya di negeri Rakhine.

Pada Rabu lalu, ICJ memutuskan ia mempunyai kuasa untuk mendengar kes berhubung sekatan ekonomi yang dikenakan AS ke atas Iran, namun telah ditarik balik yang dianggap oleh Teheran sebagai satu kemenangan buat negara itu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!