MOTAC tawar hotel sebagai penginapan sementara pekerja

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) menawarkan inisiatif menjadikan hotel sebagai penempatan sementara pekerja mengikut Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Akta 446).

MOTAC dalam satu kenyataan berkata, pendekatan itu kini dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Kementerian Sumber Manusia.

"Usaha proaktif kerajaan ini bertujuan untuk menangani penularan wabak Covid-19 yang berpunca daripada kluster tempat kerja khususnya yang melibatkan penginapan pekerja.

"Inisiatif ini merupakan alternatif terbaik pada masa ini yang secara tidak langsung dapat membantu kelangsungan perniagaan pengusaha hotel yang terjejas akibat penularan pandemik Covid-19 di dalam negara," katanya kenyataan itu yang turut dimuat naik di akaun Twitter rasmi kementerian terbabit pada Sabtu.

MOTAC menjelaskan, skop inisiatif itu hanyalah melibatkan penginapan bilik sahaja tidak termasuk kos air, elektrik, dobi serta kemudahan lain.

"Bagaimanapun, majikan boleh mendapatkan kemudahan lain yang berkaitan dengan tambahan kos yang dirunding bersama pihak hotel.

"Permohonan adalah terbuka bagi hotel yang berminat dan memenuhi syarat di bawah Akta 446," katanya.

Menurutnya, hotel yang telah berdaftar dengan MOTAC hanya perlu mengemukakan permohonan secara terus ke e-mel inisiatifhotel@motac.gov.my manakala bagi yang belum perlulah mendaftar dengan MOTAC terlebih dahulu di www.spip.gov.my sebelum permohonan dipanjangkan kepada JTKSM.

Artikel Berkaitan:

Maklumat lanjut berkaitan inisiatif itu boleh didapati melalui laman sesawang kementerian berkenaan di http://www.motac.gov.my/inisiatifhotel2021.