MPM tubuh Gerakan Jihad Rakyat

AWANG SARIYAN
AWANG SARIYAN
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Perundingan Melayu (MPM) menubuhkan Gerakan Jihad Rakyat bagi melindungi negara daripada pelbagai ancaman pada ketika ini.

Menurut Pengerusi bersama Gerakan Jihad Rakyat, Profesor Datuk Dr Awang Sariyan, pihaknya mempelawa semua institusi dan pertubuhan yang mewakili pelbagai komuniti di seluruh negara untuk menjayakan gerakan tersebut.

"Kami telah menetapkan bahawa penyertaan bagi gerakan ini adalah terbuka kepada semua pertubuhan bukan kerajaan dan institusi kerajaan mahupun swasta.

“Dengan syarat setiap institusi atau pertubuhan itu tidak dipengaruhi oleh mana-mana parti politik, pihak asing atau kumpulan cauvinis yang antinasional,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menerusi satu satu pertemuan baru-baru ini, gerakan itu bersetuju untuk melantik Tun Mohammed Hanif Omar, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Tan Sri Abu Zahar Ujang sebagai penasihat.

Turut menjadi anggota ialah Profesor Emeritus Datuk Zainal Kling sebagai pengerusi bersama dan Datuk Dr Hasan Mad dan Datuk Abang Salehuddin Abang Shokeran sebagai setiausaha bersama.

Sementara itu, Ahli Jawatan Kuasa Gerakan Jihad Rakyat terdiri daripada Datuk Dr Hussamuddin Yaacob, Profesor Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah, Datuk Zainal Abidin Borhan, Mohd Zai Mustafa dan Datuk Faridah A Jabbar.

Pada pertemuan itu juga, gerakan terbabit bersetuju agar tempoh darurat dilanjutkan dan skop atau bidang ancaman yang mewajarkan proklamasi darurat diperluas seperti yang disarankan oleh MPM.

Artikel Berkaitan:

Saranan itu terkandung dalam Memorandum Darurat yang telah diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 12 Januari 2021.

Dalam pada itu, Awang berkata, jawatankuasa induk yang baru ditubuhkan itu akan bertanggungjawab untuk mewujudkan pelbagai jawatankuasa kerja bagi mengagihkan setiap bidang tugas yang berkaitan.

“Sebaik saja Jawatankuasa Induk menggariskan misi, visi, matlamat, terma rujukan dan pelan tindakan, setiap Jawatankuasa Kerja (JKK) itu hendaklah menyediakan pelan tindakan dan pelbagai aktiviti masing-masing sebagai pengisian kepada pelan tindakannya.

“JKK hal ehwal Islam misalnya, ia akan memfokuskan secara berkala kepada pengisian khutbah setiap hari Jumaat di semua masjid seluruh negara.

"JKK Pendidikan pula akan menumpukan kepada pengisian dalam acara pendidikan di sekolah,” katanya

Selain itu, Awang berkata, gerakan itu turut bersetuju untuk melantik duta gerakan yang mempunyai personaliti ikonik dan berpengaruh serta mampu memanfaatkan usaha gerakan tersebut.

“Sebagai permulaan, jawatankuasa ini akan mengutus surat kepada Datuk Nicol Ann David yang baru dinobatkan sebagai Jaguh Sukan Dunia Sepanjang Zaman.

“Beliau mempunyai personaliti yang amat dihormati dan mempunyai ramai pengikut terutama dalam kalangan rakyat,” ujarnya.

Dalam kenyataan yang sama, Awang berkata, satu platform digital yang berfungsi sama seperti MySejahtera akan diwujudkan bagi memudahkan rakyat berurusan dengan mana-mana saluran sekutu kepada gerakan itu.

Katanya, aplikasi tersebut akan membolehkan seluruh rakyat untuk mendaftarkan sokongan mereka secara berkala dan berterusan terhadap gerakan tersebut.

“Aplikasi digital ini ditadbir urus oleh sepasukan pakar teknologi komunikasi yang mampu melakukan ‘big data analytical’ bagi membolehkan kajian impak gerakan ini dilaksanakan secara berterusan.

“Hasil kajian itu akan dikongsikan dengan mereka yang melayari platform ini secara dalam talian pada waktu yang sebenar,” katanya.