Lagu ‘dera’ beri kesedaran masalah penderaan kanak-kanak

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

MALAYSIA dilaporkan mencatat kembali peningkatan kes dera sejak akhir-akhir ini. Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), kes tersebut mencatatkan peningkatan sehingga 20 peratus.

Melihatkan angka tersebut, Merak Jalanan terus teringat kepada kes yang sama sekitar 90-an. Kes melibatkan penderaan fizikal kanak-kanak meledak bagaikan wabak di seluruh negara pada ketika itu. Hampir setiap hari media mengeluarkan cerita yang sama dengan mangsa berbeza.

Situasi tersebut seingat Merak Jalanan memang sangat membimbangkan, terutamanya selepas sebuah akbar tempatan menyiarkan gambar seorang kanak-kanak yang mati didera.

Keadaannya sangat mengerikan kerana pada badannya terdapat lebam dan luka yang banyak termasuk kesan cucuhan puntung rokok!

Susulan itu, maka terlahirlah dua hasil seni yang sinonim dengan panggilan lagu ‘dera’ iaitu ‘Tangan yang Menggapai’ nyanyian artis syarikat rakaman NSR dan ‘Derita’ nyanyian kumpulan rock naungan Life Records iaitu Okid. Masing-masing yang diterbitkan pada 1990 dan 1992 merupakan solidariti kepada mangsa penderaan pada ketika itu.

Kedua-dua buah lagu tersebut Merak Jalanan tengok cukup signifikan. Selain memberi kesedaran tentang masalah penderaan, ia juga membuka mata ramai bahawa kes dera di Malaysia merupakan sesuatu yang serius dan memerlukan perhatian daripada semua pihak.

Klip videonya yang meruntun jiwa menjadi peringatan kepada orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya melempiaskan amarah kepada kanak-kanak sehingga mendatangkan kecederaan.

Namun, 30 tahun sudah berlalu. Kedua-kedua lagu tersebut sudah tidak lagi kedengaran. Alangkah baiknya jika lagu-lagu sedemikian dapat dihasilkan lagi sebagai peringatan berterusan kepada semua lapisan masyarakat.

Artikel Berkaitan: