Polis buka siasatan kes pemandu wanita keluar kata kesat

No Image Caption
A
A
A

SEPANG - Polis telah menerima satu laporan polis yang dibuat seorang pemandu wanita yang tular mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pengguna jalan raya pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, laporan itu dibuat wanita berkenaan pada Rabu.

"Kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.

"Selain itu, polis juga telah merekod keterangan daripada seorang lelaki dalam kes berkenaan pada jam 2 petang, Khamis," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Terdahulu, wanita terbabit yang juga adalah kakitangan Universiti Putra Malaysia (UPM) telah memohon maaf atas tindakannya.

Berdasarkan video kejadian yang dikongsi seorang pemandu lelaki terbabit, wanita tersebut dikatakan membuat pusingan U sebelum dibunyikan hon oleh pemandu berkenaan.

Berang dengan tindakan pemandu lelaki itu, wanita tersebut kemudian memandu ke sebelah kereta terbabit dan mengeluarkan kata-kata kesat.

Pemandu berkenaan yang menggunakan nama akaun Twitter Fadzli Amin terdahulu telah memuat naik rakaman video berkenaan pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Dia kemudian mengesahkan dirinya dipanggil ke IPD Sepang untuk memberi keterangan susulan laporan polis dibuat wanita terbabit.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu bertengkar: UPM anggap kelakuan kakitangan tidak cermin etika universiti