Cub Prix 2021 saji 10 pusingan

Kejuaraan Cub Prix 2021 dijadualkan berlangsung bulan depan.
Kejuaraan Cub Prix 2021 dijadualkan berlangsung bulan depan.
A
A
A

KEJUARAAN Cub Prix Malaysia Petronas 2021 dijadual kembali berlangsung 10 pusingan perlumbaan dengan Litar Antarabangsa Sepang menjadi medan pembuka tirai pada 20 hingga 21 Mac ini.

Menerusi kenyataan penganjur kejuaraan, Safe Aim Mutual Sdn Bhd, jadual sementara itu diatur berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) semasa dengan mengambil kira andaian bahawa penonton masih lagi tidak dibenarkan hadir ke litar.

Pengarah Safe Aim Mutual (SAM) Sdn Bhd, Ron Hogg berkata, jadual musim 2021 seakan-akan jadual edisi 2020 dengan semua perlumbaan bakal dianjurkan di litar tetap.

"Empat daripada 10 pusingan musim 2021 akan tertumpu di Litar Antarabangsa Sepang. Dua lagi pusingan akan dianjurkan di Litar Tangkak, Johor dan dua lagi di Terengganu. Buat masa ini, lokasi dua perlumbaan berbaki belum dapat ditetapkan.

"Sekiranya tiada halangan, pihak Cub Prix berharap akan memulakan musim 2021 pada Mac nanti. Namun demikian, harus diingatkan bahawa jadual ini masih tertakluk kepada perubahan semasa," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, SAM juga berhasrat menghidupkan semula Kejuaraan Mini Cub Prix yang dikhaskan untuk pelumba cilik berusia dari enam sehingga 12 tahun pada Mei atau Jun nanti.

"Tidak dinafikan, 2020 adalah musim yang begitu mencabar. Namun, dengan bantuan pelbagai pihak, kami berterima kasih kerana masih sempat menamatkan musim 2020 dengan berjaya.

"Kami juga ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada Petronas, penaja utama Cub Prix, yang banyak membantu meningkatkan taraf sukan permotoran tanah air. Tidak lupa juga rakan korporat Cub Prix yang turut menyumbangkan sokongan terhadap sukan ini.

Artikel Berkaitan:

"Bagi pihak semua warga Cub Prix, kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atas bantuan dihulurkan selama ini.

"Kami juga menyeru orang ramai terus mematuhi SOP ditetapkan. Bersama, kami pasti akan berjaya menangani gejala ini," kata Ron.

Kalendar Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas 2021

Pusingan 1 - Sepang Selatan (20-21 Mac)

Pusingan 2 - Tangkak, Johor (10-11 April)

Pusingan 3 - Tangkak, Johor (22-23 Mei)

Pusingan 4 - Litar Permotoran Terengganu (26-27 Jun)

Pusingan 5 - Litar akan dimaklumkan kemudian (9-10 Julai)

Pusingan 6 - Sepang Utara (7-8 Ogos)

Pusingan 7 - Sepang Selatan (4-5 September)

Pusingan 8 - Litar Permotoran Terengganu (9-10 September)

Pusingan 9 - Litar akan dimaklumkan kemudian (13-14 November)

Pusingan 10 - Sepang Utara (18-19 Disember)