X

Kindly register in order to view this article
!

Pekerja asing tinggal bersesak dalam kontena

Pegawai JTKSM memeriksa kontena yang disediakan majikan yang sesak sekaligus menyalahi Akta 446.
A
A

IPOH - Seramai 40 pekerja asing tinggal bersesak dalam empat kontena yang kotor, tidak teratur dan sempit selain tidur dalam pondok yang diperbuat daripada zink terpakai dalam pemeriksaan operasi bersepadu di sebuah kilang kejuruteraan besi di Kawasan Perindustrian Pengkalan 2 di sini pada Khamis.

Operasi lebih tiga jam dilakukan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) Perak bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Jabatan Kesihatan Negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Daerah Batu Gajah turut memeriksa lima asrama penginapan pekerja di Bandar Sri Pengkalan di sini.

Pengarah JTKSM Perak, Muhamad Fauzi Abd Ghani berkata, penguatkuasaan yang dijalankan mendapati penginapan disediakan gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

"Dalam kontena boleh dijadikan penginapan, namun pemeriksaan mendapati tiada penjarakan fizikal dengan katil yang rapat dan ruang udara yang tidak selesa untuk mereka.

"Kebiasaannya sebuah kontena hanya boleh menempatkan antara enam hingga tujuh orang sahaja tetapi yang ini tidak mematuhi dengan peruntukan undang-undang," katanya dalam sidang akhbar di sini.

Pegawai JTKSM turut memeriksa pondok yang menjadi penginapan dua pekerja asing di kilang tersebut.
Pegawai JTKSM turut memeriksa pondok yang menjadi penginapan dua pekerja asing di kilang tersebut.

Menurutnya, majikan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 24D(3) Akta 446 kerana tiada perakuan penginapan dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

Muhamad Fauzi berkata, operasi itu turut membuat pengesanan sama ada majikan telah melakukan ujian saringan Covid-19 menggunakan kaedah RTK Antigen ke atas pekerja asing.

Katanya, risikan mendapati ada 18 majikan yang menyediakan penginapan untuk pekerja di lokasi itu masih belum membuat permohonan perakuan penginapan.

"Tidak timbul isu tidak dapat hadir ke Pejabat Tenaga Kerja kerana kami mempunyai enam pejabat cawangan di seluruh Perak iaitu Taiping, Kuala Kangsar, Sitiawan, Tapah, Ipoh dan Teluk Intan.

"Kita menyarankan majikan supaya hadir ke pejabat untuk dapatkan nasihat berhubung permohonan perakuan penginapan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!