Covid-19: Ahli Parlimen pembangkang tuntut peruntukan bantu rakyat

Dari kiri, Darell, Syed Saddiq, M Kulasegaran dan Salahuddin
Dari kiri, Darell, Syed Saddiq, M Kulasegaran dan Salahuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 32 ahli Parlimen pembangkang menuntut peruntukan sama rata diberikan kepada semua ahli Parlimen sama ada kerajaan atau pembangkang bagi membantu rakyat susulan penularan pandemik Covid-19.

Dalam kenyataan bersama, ahli Parlimen pembangkang terbabit berkata, ini sebagaimana yang disarankan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa mengumumkan pengisytiharan darurat.

"Beliau menggesa semua ahli politik mengetepikan perbezaan masing-masing dan bersolidariti bersama rakyat ketika kita berdepan dengan gelombang ketiga pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

"Tambah beliau lagi, bila tiba masa untuk berpolitik, maka berpolitiklah dengan penuh bertanggungjawab.

"Justeru, kami ahli Parlimen pembangkang menuntut janji Perdana Menteri untuk berpolitik dengan penuh bertanggungjawab dengan menyalurkan peruntukan kepada semua ahli Parlimen pembangkang," kata kenyataan itu pada Khamis.

Kenyataan bersama 32 ahli Parlimen pembangkang itu antaranya adalah Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar); Datuk Mohd Azis Jamman (Sepanggar); Datuk Seri Salahuddin Ayub (Pulai); Hannah Yeoh (Segambut); Datuk Darell Leiking (Penampang) dan M Kulasegaran (Ahli Parlimen Ipoh Barat).

Dalam pada itu, ahli Parlimen pembangkang berkenaan menuntut kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk turut mengambil tindakan luar biasa ketika negara sedang berperang melawan Covid-19 dalam situasi luar biasa.

"Ini termasuklah dengan memberikan peruntukan kepada semua ahli Parlimen pembangkang sebagaimana yang diterima oleh ahli Parlimen daripada pihak kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Peruntukan ini akan membantu ahli Parlimen pembangkang menyalurkan dan mengusahakan bantuan kepada penduduk di kawasan mereka yang terbeban akibat kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan. Rakyat dan para pengundi kawasan Parlimen pembangkang tidak sepatutnya menjadi mangsa atas keputusan dan hak demokratik mereka," kata mereka.

Kenyataan mereka turut menyebut, kerajaan PN di peringkat Persekutuan perlu mencontohi kerajaan negeri di bawah penguasaan mereka seperti di Johor dan Perak dengan memberikan peruntukan kepada setiap seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk dari parti pembangkang.

"Sekurang-kurangnya Menteri Besar Johor melihat pihak pembangkang sebagai rakan strategik mereka di Dewan Undangan Negeri ketika berdepan dengan krisis seperti ini.

"Pemberian peruntukan kepada ADUN pembangkang juga telah lama dilakukan di Selangor dan Pulau Pinang," kata mereka.

Sehubungan itu, kerajaan PN digesa menggunakan pendekatan dengan melibatkan 'keseluruhan kerajaan' dan 'keseluruhan masyarakat' dalam mengendalikan krisis Covid-19 yang semakin buruk pada hari ini.

"Semua pihak perlu menggembleng tenaga dan sumber untuk melawan pandemik Covid-19 secara bersama dengan segera menyalurkan peruntukan kepada semua termasuklah kepada ahli Parlimen pembangkang," ujar mereka.