X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Muafakat jamin tiada isu sembunyi maklumat pelajar MRSM

Gambar hiasan
A
A

KUALA LUMPUR - Badan Permuafakatan Pendidikan Mara Malaysia (Muafakat) menggesa ibu bapa pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) untuk tidak mengeluarkan kenyataan kurang tepat mengenai situasi di pusat pengajian itu susulan jangkitan kes Covid-19 kerana boleh menimbulkan panik dan persepsi yang pelbagai.

Muafakat dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan, pihaknya sentiasa berhubung dengan pihak pengurusan MRSM dan pengurusan tertinggi Majlis Amanah Rakyat (Mara) bagi memastikan keselamatan pelajar diberi keutamaan dan memberi jaminan kepada ibu bapa bahawa tiada isu menyembunyi maklumat seperti yang didakwa.

Kenyataan itu menyebut pihaknya berharap mereka dapat menggunakan saluran persatuan itu sama ada di peringkat kebangsaan mahupun maktab untuk menyalurkan maklumat atau isu yang perlu ditangani bersama.

“Muafakat sentiasa terbuka dalam menerima sebarang aduan untuk diketengahkan kepada pihak pengurusan tertinggi Mara jika wujud ruang-ruang yang perlu diperbaiki demi kebajikan dan kesejahteraan anak-anak pelajar.

“Pada masa yang sama, kami berharap agar pihak Mara juga mengetatkan pemantauan dan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan agar tiada kejadian yang sama berlaku di MRSM lain,” menurut kenyataan itu.

Muafakat Kebangsaan adalah badan rasmi yang mewakili ibu bapa pelajar di semua Kolej Mara (KM), Kolej Profesional Mara (KPM) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM). Selain daripada Muafakat Kebangsaan, setiap MRSM juga mempunyai organisasi Muafakat di peringkat maktab masing-masing.

Badan itu mewakili lebih 80,000 ibu bapa yang anak-anak mereka ketika ini sedang belajar di MRSM.

Sebelum ini, beberapa kejadian jangkitan Covid-19 dikesan di Kolej Mara Kuala Nerang, MRSM Tun Ghazali Shafie Kuala Lipis, MRSM Sungai Besar dan terkini di MRSM Bentong.

“Berdasarkan kepada pemantauan kami, sememangnya MRSM dengan sokongan kuat daripada pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) amat menitikberatkan isu keselamatan dan kebajikan pelajar.

“Kami juga bersama memantau proses pelaksanaan SOP keselamatan dari awal lagi sejak pelajar Tingkatan Lima diberikan kebenaran untuk kembali ke asrama bagi tujuan pembelajaran secara bersemuka," menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, tular mesej menerusi aplikasi WhatsApp mendakwa pelajar MRSM Sungai Besar, Selangor tidak mendapat bekalan makanan yang secukupnya, pelajar bergejala tinggal di asrama yang sama dengan pelajar sihat akibat tiada tempat pengasingan serta wujud masalah membabitkan SOP keselamatan, sanitasi, pembekalan pelitup muka dan sebagainya.

Mara dalam satu kenyataan pada 1 Februari lepas telah membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan tersebut dan pihaknya sentiasa memastikan pelajar MRSM mengikuti SOP yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengawal penularan Covid-19 dalam kalangan pelajar. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!