X

Kindly register in order to view this article
!

PKP: Lima peniaga dikompaun RM1,000 di Terengganu

Penguatkuasa KPDNHEP bertanya sesuatu kepada peniaga ketika melakukan pemeriksaan pematuhan SOP di premis perniagaan. - Foto KPDNHEP
A
A

KUALA TERENGGANU - Lima pemilik premis menjual telefon, karpet dan pemborong dikompaun RM1,000 seorang pada Rabu kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, tiga kompaun dikeluarkan di daerah Kemaman manakala dua lagi di Kuala Terengganu.

Menurutnya, semua peniaga itu dikesan gagal menyediakan peralatan merekod butiran diri, alat pengesan suhu badan dan gagal mengawal laluan masuk pelanggan tanpa merekodkan maklumat secara manual atau melalui aplikasi MySejahtera.

Penguatkuasa KPDNHEP sedang melakukan pemeriksaan di premis perniagaan.  - Foto KPDNHEP
Penguatkuasa KPDNHEP sedang melakukan pemeriksaan di premis perniagaan. - Foto KPDNHEP

“Mereka dikompaun kerana melanggar SOP PKP iaitu di bawah Peraturan 15 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan) 2021.

“KPDNHEP telah diberi kuasa di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) terhadap pematuhan SOP PKP, PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan bermula 8 Mei 2020,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sehubungan itu, Saharuddin meminta pengusaha perniagaan dan orang ramai agar sentiasa mematuhi SOP bagi membendung penularan Covid-19.

Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bersikap sambil lewa, mengambil mudah dan melanggar SOP ditetapkan.

“KPDNHEP juga sentiasa mengalu-alukan kerjasama pengguna untuk menyalurkan sebarang maklumat salah laku atau aduan melalui saluran yang disediakan bagi memastikan para peniaga sentiasa mematuhi undang-undang,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!