Pendemokrasian ilmu untuk semua

Tatkala sekolah dan universiti ditutup akibat pandemik Covid-19, anak-anak kita tidak mempunyai pilihan selain belajar secara dalam talian.
Tatkala sekolah dan universiti ditutup akibat pandemik Covid-19, anak-anak kita tidak mempunyai pilihan selain belajar secara dalam talian.
A
A
A

[DIKEMAS KINI] SAMA seperti usaha memerangi rasuah, ada beberapa lagi usaha yang perlu dilaksanakan bagi mengembalikan kegemilangan Malaysia yang suatu ketika dahulu dikenali sebagai 'Harimau Asia’. Untuk kolum kali ini, saya ingin memberi fokus kepada isu pendemokrasian ilmu untuk semua.

Suatu ketika dahulu, ramai pihak yang bersuara mengenai jurang digital antara bandar dan luar bandar. Ramai rakyat Malaysia yang tidak mendapat capaian internet kerana infrastruktur tidak menyeluruh.

Ia merisaukan ramai pihak ketika itu kerana dengan jurang itu nanti, hanya mereka yang mendapat capaian internet akan menguasai ilmu. Secara tidak langsung, ada yang ketinggalan.

Hari ini dengan adanya telefon pintar, jurang tersebut telah berjaya kita rapatkan. Namun demikian, telefon pintar sahaja masih tidak dapat menjanjikan bahawa ilmu akan dapat disebarkan secara adil dan saksama kepada semua.

Ia dapat kita lihat semasa negara dilanda pandemik Covid-19. Tatkala sekolah dan universiti ditutup, anak-anak kita tidak mempunyai pilihan selain belajar secara dalam talian. Untuk ia berjaya, setiap murid perlu dilengkapkan dengan keperluan alat berserta software yang dihubungkan melalui capaian internet. Setiap perkara yang disebutkan itu mempunyai kos tersendiri yang perlu ditanggung oleh pengguna.

Kalau pun ada kerajaan yang melengkapkan capaian internet secara meluas dan percuma, seorang murid masih perlu memiliki gajet untuknya mendapat akses kepada pembelajaran secara digital.

Persoalannya, berapa peratus agaknya rakyat Malaysia yang mampu menyediakan semua kelengkapan itu untuk anak-anak mereka?

Cuba kita bayangkan, seorang petani sawah padi di Gunung Keriang, Kedah yang hanya kais pagi makan pagi. Anak-anak di kampung itu sudah tentu akan ketinggalan dan tidak mungkin dapat keluar daripada putaran kemiskinan.

Artikel Berkaitan:

Seorang sahabat saya yang menjadi guru di sebuah sekolah menengah yang terletak 30 kilometer dari Pekan Sungai Petani memberitahu saya bahawa dalam salah sebuah kelas beliau, daripada 31 orang murid, hanya empat orang murid yang memiliki telefon pintar sendiri.

Seramai 10 orang daripada mereka berkongsi telefon pintar dengan adik-beradik yang lain yang juga harus mengikuti kelas secara dalam talian. Seramai lapan murid lagi menggunakan telefon pintar milik ibu bapa mereka.

Menunggu

Untuk itu, murid-murid tersebut harus menunggu ibu bapa mereka pulang daripada kerja. Seramai dua lagi murid, ibu bapa mereka hanya mempunyai telefon yang boleh mem-buat panggilan dan menghantar SMS, manakala selebihnya tidak mempunyai cara untuk mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Dalam konteks ini, pada hari ini pun bukan setakat jurang digital sahaja yang akan bertambah luas, jurang antara yang kaya dan miskin juga akan terus melebar. Sebab itu, penulis pernah cadangkan enam bulan lalu kepada sebuah badan pemikir agar kandungan pengajaran dan pembelajaran dibuat atas platform televisyen dan radio.

Ketika bersekolah dahulu, penulis didedahkan dengan TV Pendidikan dan pada hari penulis tidak dapat hadir ke sekolah, TV pendidikan menjadi sumber ilmu.

Ramai pihak telah mula menyuarakan perkara yang sama. Kita perlu memanfaatkan TV dan radio untuk pendidikan anak-anak.

Lebih 90 peratus isi rumah di Malaysia mempunyai TV dan hampir semua ada akses kepada radio. Sepatutnya kandungan pendidikan dibina atas platform radio dan TV untuk disebarluaskan. Sekurang-kurangnya tidak ada yang ketinggalan.

Semasa cadangan itu diutarakan dalam satu kumpulan WhatsApp, seorang ahli kumpulan menempelak cadangan tersebut kerana kata beliau, apa pun platformnya masih perlukan capaian kepada internet untuk guru memantau anak murid.

Menurut beliau lagi, jika tidak, pembelajaran akan menjadi satu hala. Apabila ditunjukkan beberapa bukti bagaimana pemantauan murid dilakukan di beberapa buah negara tanpa capaian internet, alasan beliau berubah pula bahawa bukti yang ditunjukkan itu mungkin boleh dilakukan dalam keadaan persekolahan berjalan seperti biasa dan tidak pada waktu pandemik Covid-19.

Alasan demi alasan tidak akan menyelesaikan masalah yang ditanggung oleh berjuta anak kita. Kajian secara rambang yang saya buat melalui beberapa orang sahabat yang menjadi guru menunjukkan masalah di lapangan adalah jauh lebih buruk daripada apa yang kita gambarkan.

Sebenarnya banyak lagi cara untuk kita mencari penyelesaian kepada isu berkenaan. Salah satu caranya adalah dengan menggalakkan ibu bapa mengambil kesempatan daripada sumber sedia ada di persekitaran kawasan perumahan.

Sekolah boleh mengedarkan buku-buku kerja kepada anak yang berada di rumah. Buku kerja itu dibuat selepas murid mengikuti kelas yang diajar guru melalui TV atau radio. Mungkin ada bekas guru yang telah bersara untuk memantau kerja-kerja rumah yang dibuat oleh anak-anak tersebut. Masyarakat perlu digembleng pada masa kini dan kita perlu lebih kreatif.

Belajar secara remote harus menjadi realiti. Kalau bukan kerana Covid-19 pun, masih ramai anak yang tercicir dari segi mendapat ilmu yang terbaik yang terkandung dalam internet walaupun pada abad ke-21.

Sebab itu, penulis berpendapat sekolah dan pihak-pihak berkepentingan perlu mencari idea serta penyelesaian untuk memperbaiki pembelajaran secara remote tanpa bergantung kepada internet.

Tidak guna untuk kita hanya memberi alasan. Bak kata peribahasa Melayu 'nak seribu daya, tak nak seribu dalih’. Yang kita mahu adalah satu penyelesaian yang tidak akan membebankan lagi rakyat.

Membeli komputer riba dan memberi kepada seorang pelajar belum tentu membantu mereka. Kos elektrik dan kos membayar internet masih perlu ditanggung oleh keluarga. Tidak semua orang mampu. Sebab itu, satu penyelesaian yang lebih membantu meringankan beban akan lebih memberi manfaat yang berpanjangan.

Untuk Malaysia kembali makmur dan maju, kita harus mencari penyelesaian terutama untuk menentukan ilmu dapat disampaikan kepada semua rakyat. Hanya dengan ilmu, rakyat akan dapat mengubah nasib mereka.

* Datuk Dr Anis Yusal Yusoff adalah Felo Utama di KITA, UKM. Beliau pernah menjadi Presiden Institut Integriti Malaysia, dan Timbalan Ketua Pengarah GIACC, JPM