Tiada isu gaji pemain Perak

Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (kanan) melepaskan benih udang dan ikan lampam di Sungai Sepetang pada Program Lestari Komuniti dan Alam Sekitar di Kampung Dew dekat sini hari ini. - Foto Bernama
Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (kanan) melepaskan benih udang dan ikan lampam di Sungai Sepetang pada Program Lestari Komuniti dan Alam Sekitar di Kampung Dew dekat sini hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Perak (Pafa) menafikan pemain skuad Liga Super negeri ini terpalit dengan isu tunggakan gaji.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, isu berkenaan tidak timbul malah bayaran gaji pemain dilakukan mengikut prosedur biasa.

“Setakat ini kita tidak ada masalah berkaitan gaji pemain, gaji jalan seperti biasa,” katanya.

Menurutnya, perkara itu timbul dan diperkatakan di media sosial, namun tidak dapat dipastikan kesahihannya.

Secara berseloroh, beliau berkata, ada juga beberapa individu datang memaklumkan kepadanya bahawa ada pemain memberi alasan gaji belum dapat apabila isterinya meminta duit.

“Sedangkan dia sendiri yang tak nak bagi duit kepada isterinya...mungkin sebab itu heboh kata gaji pemain tak jalan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Menteri Besar Perak itu memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan memenuhi semua ganjaran dijanjikan kepada pemain atas kejayaan merangkul kejuaraan Piala Malaysia tahun lalu.

Katanya, ganjaran berupa insentif wang tunai berjumlah RM10,000 telah diberikan dan hanya tinggal pemberian lot tapak rumah yang belum dapat direalisasikan.

Artikel Berkaitan:

"Setahu saya hanya pemberian tanah sahaja yang masih belum diselesaikan kerana ia mengambil sedikit masa, tetapi saya beri jaminan mereka tentu akan dapat tanah sepertimana dijanjikan kerajaan negeri kepada pemain,” katanya.

Terdahulu, beliau ditemui pada Program Lestari Komuniti dan Alam Sekitar Kampung Dew yang turut dihadiri Pengurus Besar Bahagian Penjanaan dan Alam Sekitar Tenaga Nasional Berhad (TNB) Research Sdn Bhd, Dr Mohd Hariffin Boosroh dan Dekan Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Mohammad Kassim.