Capaian internet masih kurang memuaskan

Rizam (tengah) ketika hadir menyampaikan sumbangan kerusi kepada Balai Polis Sungai Air Tawar di sini pada Rabu.
Rizam (tengah) ketika hadir menyampaikan sumbangan kerusi kepada Balai Polis Sungai Air Tawar di sini pada Rabu.
A
A
A

SABAK BERNAM - Kebanyakan kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar masih mengalami masalah liputan internet kurang memuaskan hingga menyukarkan perlaksanaan Pengajaran dan pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail berkata, beliau menerima banyak rungutan daripada ibu bapa dan guru berhubung masalah capaian penebusan jalur lebar yang amat perlahan di kawasan terbabit.

Menurutnya, DUN Sungai Air Tawar yang dikategorikan sebagai luar bandar mempunyai tiga sekolah menengah dan hampir 30 sekolah rendah termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) berdepan cabaran utama dalam perlaksanaan PdPR.

“Lebih mendukacitakan penduduk terpaksa membayar pakej internet untuk mendapatkan capaian, namun malangnya kadar kelajuan internet terlalu perlahan malah sesetengah tempat seperti di Kampung Sungai Tengar dan Tebuk Mufrad tidak mempunyai liputan internet yang menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan kerusi di Balai Polis Sungai Air Tawar di sini pada Rabu.

Terdahulu Rizam menyampaikan sumbangan sebuah mesin kimpalan motosikal kepada seorang mekanik di Jalan Saring sebelum melawat tanaman bunga diusahakan penduduk di Bagan Nakhoda Omar di sini.

Rizam yang juga Ketua Pembangkang DUN Selangor berkata, rungutan sama bukan sahaja dihadapi pelajar dan guru sekolah, malah mereka yang berniaga secara dalam talian sepanjang PKP ini turut mengadu nasib sama.

“Ini bukan sahaja menyebabkan sesi PdPR terganggu, malah menyusahkan peniaga yang menggunakan medium digital untuk memasarkan produk perniagaan mereka,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Malah tegas beliau, pihaknya turut mempersoalkan mutu perkhidmatan Wifi Smart Selangor yang gagal berfungsi dengan baik di kawasan itu.

“Kita memohon kerajaan negeri menaik taraf perkhidmatan WiFi ini untuk kemudahan penduduk terutama pelajar dan guru yang amat berharap perkhidmatan ini dapat dipertingkatkan.

“Amat janggal sebuah negeri maju tetapi masih banyak kawasan di DUN ini yang tidak menerima capaian internet dengan menyeluruh,” katanya.

Justeru, katanya, beliau turut berharap kerajaan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan kerajaan negeri mengambil tindakan proaktif bagi menangani masalah capaian internet di kawasan terbabit.

“Kita berharap perkara ini dapat diselesaikan segera apatah lagi PKP dilanjutkan dan ini sudah tentu menyukarkan semua pihak yang bergantung kepada penggunaan internet.," katanya.