X

Kindly register in order to view this article
!

5 April tarikh baharu dengar rayuan Najib

Najib Tun Razak
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan menetapkan tarikh baharu bermula 5 April ini bagi mendengar rayuan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap sabitan dan hukuman penjara bagi dakwaan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Pada 1 Oktober lepas, mahkamah menetapkan 12 hari bermula 15 hingga 18 Februari, 22 hingga 25 Februari dan 1 hingga 4 Mac depan untuk pendengaran rayuan berkenaan.

Salah seorang peguam Najib Muhammad Farhan Muhammad Shafee dalam hantaran teks pesanan whatsApp kepada Bernama berkata tarikh baharu untuk pendengaran selama 12 hari kini ditetapkan bermula dari 5 hingga 8 April, 12 hingga 15 April dan 19 hingga 22 April.

Sementara itu kedua-dua pihak pembelaan dan pendakwaan pada 8 Februari akan menerima rekod rayuan dipinda dan mereka perlu memfailkan hujah masing-masing menjelang 1 Mac, dan jawapan hujah menjelang 19 Mac, menurut sumber.

Pengurusan kes berikutnya bagi rayuan ditetapkan pada 22 Februari.

Tarikh pengurusan kes itu ditetapkan semalam di hadapan timbalan pendaftar Mahkamah Rayuan Darmafikri Abu Adam dan N. Kanageswari, dan bersambung hari ini, bagi menetapkan tarikh pendengaran dan menfail hujah.

Turut hadir dalam prosiding pengurusan kes adalah peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Nur Syahirah Hanapiah, manakala pihak pendakwaan diwakili timbalan pendakwa raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul.

Najib yang merupakan Ahli Parlimen Pekan sebelum ini mengemukakan 307 alasan dalam petisyen rayuannya, mengenai mengapa dia perlu dibebaskan daripada pertuduhan.

Pada 28 Julai lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas mendapati dia bersalah terhadap tujuh tuduhan membabitkan perbuatan pecah amanah, penggubahan wang dan salah guna kuasa melibatkan RM42 juta dana SRC.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun bagi setiap tiga kes pecah amanah dan masing-masing tiga kes pengubahan wang haram; serta penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, jika tidak dipenjara lima tahun, dalam kes penyalahgunaan kedudukan.

Bagaimanapun Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas hakim memerintahkan hukuman itu berjalan serentak.

Najib kini bebas atas ikat jamin RM2 juta dengan dua penjamin sementara menunggu rayuannya selesai. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!