Kes dera libat ibu bapa kandung paling tinggi

A
A
A

KUALA LUMPUR - Ibu bapa kandung merekodkan jumlah peratusan tertinggi sebagai pelaku jenayah kes penderaan kanak-kanak bagi tempoh tiga tahun sejak tahun 2018.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, pihaknya menerima sebanyak 1,491 laporan kes bagi tempoh tiga tahun berkenaan.

“Pada 2018, kita terima sebanyak 456 kes manakala pada 2019 pula 534 kes dan tahun lalu dengan 501 kes.

“Daripada jumlah keseluruhan itu, ibu bapa kandung menjadi pelaku tertinggi kes penderaan dengan 46 peratus diikuti pengasuh atau pusat jagaan dengan 27 peratus.

“Bagi ahli keluarga lain termasuk ibu bapa saudara, keluarga angkat, datuk dan nenek pula mencatatkan sebanyak 18 peratus dan selebihnya iaitu sembilan peratus adalah ibu bapa tiri,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata, pelaku tertinggi adalah dalam kalangan ahli keluarga iaitu kombinasi ibu bapa kandung, ibu bapa tiri dan ahli keluarga lain sebanyak 82 peratus manakala selebihnya adalah orang luar iaitu pengasuh sama ada di rumah atau di pusat jagaan.

Bagaimanapun, katanya, tidak semua kes yang dilaporkan dan disiasat sebagai penderaan kanak-kanak ini adalah tulen penderaan kerana berdasarkan punca kejadian ia menunjukkan ada elemen kecuaian dan kemalangan.

Beliau berkata, bagi kes tahun ini, sebanyak 35 kes penderaan kanak-kanak dengan lapan kes kematian direkodkan pada Januari termasuk kes yang berlaku di Melaka baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

“Daripada jumlah kes itu, sebanyak 28 kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001, enam kes di bawah Seksyen 33 Akta yang sama dan satu kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Terdahulu, seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun meninggal dunia dipercayai didera pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, kanak-kanak malang itu didakwa lemas di dalam tong air di rumahnya di Taman Krubong Jaya, Melaka.

Mengulas lanjut, Siti Kamsiah mendedahkan punca kes penderaan berlaku adalah disebabkan masalah pelaku itu seperti panas baran, hilang kawalan diri kerana mabuk atau dadah yang menyumbang sebanyak 65 peratus kes bagi tempoh tiga tahun sejak tahun 2018.

“Punca kedua ialah akibat kemalangan iaitu jatuh katil semasa tidur, tersedak susu, sawan atau pendarahan dalam otak tanpa diketahui punca yang menyumbang sebanyak 21 peratus kes.

“Elemen kecuaian iaitu meninggalkan mangsa tanpa pengawasan sehingga menyebabkan kecederaan kepada mangsa seperti jatuh kolam, sungai dan lain-lain serta cuai seperti tertinggal mangsa dlm kereta turut menyumbang lima peratus kes.

“Selebihnya iaitu sembilan peratus adalah pukul untuk mendidik. Kategori ini selalunya ada unsur mangsa nakal atau sukar dikawal dan kecederaan tak serius,” katanya.

Statistik mengikut tahun

2018: 456 kes

2019: 534 kes

2020: 501 kes

Pelaku jenayah

1. Ibu bapa kandung: 46 peratus

2. Ibu bapa tiri: 9 peratus

3. Ahli keluarga lain termasuk Ibu bapa saudara, keluarga angkat, datuk nenek: 18 peratus

4. Pengasuh/pusat jagaan: 27 peratus