Tiada arahan polis, ESSCom henti program Ebit Lew

Ebit Lew sedih misi bantuan bagi pembinaan sekolah terpaksa ditangguhkan susulan beliau tidak dibenarkan kembali ke pulau-pulau Semporna termasuk bantuan perlu dihentikan. - Foto FB Ebit Lew
Ebit Lew sedih misi bantuan bagi pembinaan sekolah terpaksa ditangguhkan susulan beliau tidak dibenarkan kembali ke pulau-pulau Semporna termasuk bantuan perlu dihentikan. - Foto FB Ebit Lew
A
A
A

KOTA KINABALU - Polis atau Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCom) tidak pernah menghalang atau mengeluarkan sebarang arahan untuk menghentikan program pendakwah terkenal Ebit Lew di kawasan itu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) untuk menganjurkan program kebajikan bagi membantu mereka yang memerlukan.

Beliau bagaimanapun berkata, mereka digalakkan merujuk pihak berkuasa seperti polis dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) atas faktor keselamatan.

"Kita tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan atau tindakan untuk menghalang program yang dianjurkan oleh pihak sukarelawan seperti Ebit Lew.

"Ada juga kenyataan yang ditularkan di media sosial mengaitkan Perintah Berkurung dikuatkuasakan meliputi perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran," katanya pada Selasa.

Hazani berkata, perintah berkenaan dikeluarkan bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah.

"Ia tiada kena-mengena dengan program yang dianjurkan sukarelawan atau pihak NGO di negeri ini.

"Cuma kita minta beliau rujuk dengan pihak berwajib bagi mengenal pasti status pulau dan penduduk terbabit," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, terdapat komen balas daripada netizen faktor keselamatan penyebab pendakwah bebas itu tidak dibenarkan masuk ke pulau-pulau berkenaan.