Ebit Lew perlu maklum Pejabat Daerah Semporna

SEMPORNA - Tiada halangan untuk pendakwah terkenal, Ebit Lew meneruskan misi bantuan beliau tetapi perlu memaklumkan kepada pihak berkaitan sebagai tuan rumah di daerah itu.
Pegawai Daerah Semporna, Suhaimi Ejip berkata, beliau memahami niat ikhlas Ebit Lew tetapi pihaknya tidak menerima kunjungan daripada pendakwah bebas itu sendiri dan hanya memaklumkan tujuannya untuk masuk ke pulau berkenaan selain mahu mendirikan struktur untuk pembinaan sekolah.
"Saya sebagai tuan rumah mengalu-alukan kedatangan beliau dan menghargainya namun apabila kita memasuki 'rumah', kita harus mengetuk 'pintu rumah' terlebih dahulu, namun beliau tidak datang ke Pejabat Daerah Semporna.
"Sebaliknya hanya memaklumkan jadual perjalanannya melalui pembantu peribadinya dan tidak bertemu secara bersemuka menerangkan tujuan dan jabatan yang mempunyai autoriti yang membenarkan individu atau agensi masuk ke daerah adalah Pejabat Daerah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.