100 pelajar di Marang bakal terima telefon pintar percuma

Tun Ahmad Faisal (kiri) menyerahkan telefon pintar kepada Pegawai Pendidikan Daerah Marang, Nawawi Rani sambil disaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulung (tengah) di PPD Marang pada Selasa.
Tun Ahmad Faisal (kiri) menyerahkan telefon pintar kepada Pegawai Pendidikan Daerah Marang, Nawawi Rani sambil disaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulung (tengah) di PPD Marang pada Selasa.
A
A
A

MARANG - Seramai 100 pelajar dari keluarga kurang berkemampuan di Marang akan menerima bantuan telefon pintar untuk melancarkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) melalui program Cakna Didik Marang Hebak.

Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, buat permulaan pihaknya telah menyerahkan 10 telefon pintar kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Marang pada Selasa.

“Sasaran kita, semua 100 pelajar itu akan menerimanya sebelum akhir bulan ini dan penyerahan akan dibuat oleh pengurusan PPD Marang secara berperingkat.

“Program ini adalah inisiatif Pejabat Daerah Marang berikutan keluhan ibu bapa mengenai kesukaran mereka untuk memastikan PdPR berjalan lancar kerana peranti yang diperlukan tidak mencukupi terutama untuk mereka yang mempunyai anak lebih dua orang,” katanya selepas menyampaikan sumbangan telefon pintar itu di sini pada Selasa.

Keutamaan sumbangan telefon pintar itu akan diberi kepada pelajar sekolah menengah (Tingkatan Lima dan Tingkatan Enam) yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tidak lama lagi.

Tun Ahmad Faisal berkata, selain itu, Pejabat Daerah Marang akan mengagihkan bantuan kewangan kepada 1,000 pelajar untuk menambah data internet mereka.

“Kita beri RM20 seorang untuk mereka tambah nilai data internet melalui syarikat telekomunikasi yang dilanggan. Bagi mencapai sasaran itu, kita berharap lebih banyak syarikat korporat dan orang perseorangan tampil menyumbang.

“PPD Marang telah mengenal pasti pelajar yang layak untuk menerima sumbangan ini. Kita juga mengalu-alukan mana-mana pihak untuk terlibat dalam program Cakna Didik Marang Hebak ini sama ada melalui sumbangan wang tunai atau telefon pintar,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: