NUJM gesa kerajaan rangka program khas bantu petugas media

NUJM menggesa kerajaan agar memberi perhatian kepada cabaran getir yang dihadapi oleh petugas media Malaysia yang kini berdepan cabaran bertugas dalam pandemik Covid-19. Gambar fail Bernama
NUJM menggesa kerajaan agar memberi perhatian kepada cabaran getir yang dihadapi oleh petugas media Malaysia yang kini berdepan cabaran bertugas dalam pandemik Covid-19. Gambar fail Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJM) meminta supaya kerajaan dapat merangka program khas dengan segera bagi membantu dan meringankan beban yang dihadapi petugas media serta bekas kakitangan industri berkenaan berikutan pengumuman proklamasi darurat sehingga Ogos ini.

Presidennya, Farah Marshita Abdul Patah berkata, sebahagian besar bekas kakitangan media berdepan nasib malang apabila ada di antara mereka diberhentikan kerja sejak tahun 2019 lagi.

Beliau berkata, lebih 3,000 kakitangan dalam industri media diberhentikan secara berperingkat sejak 2019 disebabkan oleh faktor kelembapan industri dan kesan pandemik Covid-19.

"NUJM menggesa kerajaan agar memberi perhatian kepada cabaran getir yang dihadapi oleh petugas media Malaysia yang kini berdepan cabaran bertugas dalam pandemik Covid-19.

“Lebih sukar, ada juga bekas kakitangan media yang diberhentikan tanpa sebarang pampasan disebabkan penutupan operasi secara mengejut,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut beliau berkata, sebahagian besar daripada mereka turut berdepan dengan situasi yang amat mencabar dalam mencari pekerjaan baharu disebabkan keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Katanya, bagi bekas pekerja yang menerima pampasan daripada majikan, kebanyakan daripada mereka telah menceburi pelbagai bidang perniagaan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Namun, pandemik yang berlarutan sejak 2019 telah memberi kesan besar kepada perniagaan mereka yang baru bertatih di pasaran,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam kenyataan sama, Farah berkata, industri media dilihat terus suram untuk beberapa tahun akan datang.

Menurutnya, perkembangan itu bukan sahaja memadam hasrat bekas kakitangan media untuk kembali berkhidmat di dalam industri, malah turut mematikan semangat warga media yang masih bertugas.

"Dalam membuat liputan sepanjang penularan Covid-19, petugas media juga seolah diketepikan, sama ada dari segi kebajikan mahupun keselamatan.

"Tiada peruntukan khas bagi membeli peralatan keselamatan, pemeriksaan kesihatan mahupun elaun perubatan diberikan kepada petugas media dalam membuat liputan seharian khususnya di tempat berisiko,” katanya.