PKP di Kapit, Song di Sarawak bermula Selasa ini

Gambar fail Bernama
Gambar fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di dua lokaliti di Sarawak selama 14 hari bermula Selasa ini (2 Februari), kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata lokaliti itu ialah di Song dan Kapit berikutan kedua-dua daerah menunjukkan peningkatan kes secara mendadak dalam tempoh 14 hari dengan kadar keberjangkitan yang tinggi.

‘’KKM (Kementerian Kesihatan) mengesahkan terdapat peningkatan kes positif Covid-19 di daerah Song yang sebelumnya merupakan zon hijau dengan 93 kes telah direkodkan.

“Di daerah Kapit, kes telah meningkat daripada tiada kes kepada 31 kes positif, prosedur operasi standard (SOP) PKP ini adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini,’’ menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini pada Ahad.

Ismail Sabri berkata, kerajaan juga bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua lokaliti di Johor iaitu di Penjara Simpang Renggam dan Kuarters Kakitangan Kluang selama 14 hari sehingga 14 Februari ini.

Beliau berkata, pelaksanaan PKPD itu dibuat susulan peningkatan kes positif Covid-19 secara mendadak di dua kawasan terbabit.

‘’Sehingga 29 Januari, KKM telah melaksanakan 198 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 108 kes positif Covid-19 telah direkodkan yang melibatkan 100 tahanan, enam kakitangan dan dua kontak rapat.

‘’SOP PKPD di penjara ini juga sama seperti yang diumumkan sebelum ini termasuk pergerakan keluar masuk dan lawatan oleh ahli keluarga adalah tidak dibenarkan bagi memastikan tiada penularan jangkitan dalam komuniti,’’ katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengenai operasi pematuhan SOP, Ismail Sabri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 578 individu semalam yang menyaksikan 525 orang dikompaun dan 53 lagi direman.

Berhubung kawalan sempadan menerusi Operasi Benteng pula, beliau berkata seramai 40 pendatang tanpa izin telah ditahan manakala sebuah kenderaan darat dan sebuah bot dirampas. - Bernama