Pemandu teksi cedera ditumbuk

Gambar pemandu teksi eksekutif berkenaan tular di media sosial sejak semalam.
Gambar pemandu teksi eksekutif berkenaan tular di media sosial sejak semalam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Pemandu teksi eksekutif cedera di muka ditumbuk seorang lelaki dipercayai pemandu kereta sapu di KL Sentral sekitar jam 10.30 pagi semalam.

Difahamkan, lelaki itu bertindak sedemikian selepas tidak berpuas hati dengan pemandu teksi eksekutif itu yang dikatakan mendapat penumpang terdiri daripada pelancong untuk ke Genting Highlands

Sumber berkata, ketika kejadian mangsa berusia 54 tahun itu berada di stesen berkenaan sebelum dihampiri suspek.

"Suspek terus menumbuk mangsa di bahagian muka hingga luka dan lebam di seluruh muka pemandu teksi eksekutif itu.

"Mangsa kemudian mendapatkan rawatan di PPUM (Pusat Perubatan Universiti Malaya) sebelum membuat laporan di pondok polis pusat perubatan itu" katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Ruslan Khalid ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

"Berdasarkan siasatan polis, suspek dan mangsa saling mengenali antara satu sama lain dan ketika kejadian mangsa sedang menunggu pelanggan.

"Suspek telah datang menemui mangsa dan terus menyerang lalu berlaku pergaduhan, orang ramai yang berada di situ meleraikan pergaduhan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Pergaduhan tidak melibatkan sebarang senjata. Pengadu yang mengalami kecederaan di muka dan kaki dan dirawat sebagai pesakit luar,” katanya.

Ruslan berkata, suspek lelaki berusia 33 tahun ditahan polis untuk membantu siasatan dan punca pergaduhan akan disiasat dari semua sudut termasuk samaada insiden disebabkan isu peribadi atau isu berebut pelanggan.

"Kes disiasat di bawah kesalahan gaduh gempar bersekali dengan kesalahan mendatangkan cedera iaitu Seksyen 160/323 Kanun Keseksaan,” katanya lagi.