PPM Wilayah Tiga rampas rokok RM1.5 juta

Norzaid (tengah) bersama pegawainya menunjukkan rokok putih yang berjaya dirampas pada sidang media di PPM Pengkalan Kubor pada Sabtu. - Foto Bernama
Norzaid (tengah) bersama pegawainya menunjukkan rokok putih yang berjaya dirampas pada sidang media di PPM Pengkalan Kubor pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

TUMPAT - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor merampas 10,000 karton rokok putih bernilai RM1.5 juta termasuk cukai eksais kastam dipercayai diseludup dari Thailand pada Sabtu.

Komander PPM Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Norzaid Muhammad Said berkata, rampasan itu dilakukan menerusi Ops Benteng dalam serbuan di kawasan Jalan Parit Tali Air dari Kampung Cempaka menghala ke Kampung Cherang di Kota Bharu, kira-kira jam 6.30 pagi.

"Sepasukan pegawai dan anggota menjalankan risikan serta intipan terhadap penyeludupan rokok putih dan mengesan sebuah lori yang disasarkan memasuki lorong di laluan berkenaan.

"Kenderaan itu diberhentikan dengan menutup kedua-dua arah lorong tersebut menggunakan sebuah kenderaan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tiga kenderaan samaran," katanya ketika ditemui pemberita di Markas Operasi PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, di sini pada Sabtu.

Norzaid menunjukkan rokok putih yang dirampas pada sidang media di PPM Pengkalan Kubor pada Sabtu. - Foto Bernama
Norzaid menunjukkan rokok putih yang dirampas pada sidang media di PPM Pengkalan Kubor pada Sabtu. - Foto Bernama

Norzaid berkata, bagaimanapun dua lelaki dipercayai warga tempatan yang merupakan pemandu lori dan kelindan berjaya melarikan diri kerana menyedari laluan lorong berkenaan dihalang sepasukan polis.

"Kedua-dua suspek berjaya melarikan diri ke kawasan semak berhampiran dan gagal dikesan. Susulan itu, hasil pemeriksaan ke atas lori itu mendapati telah membawa 200 kotak yang mengandungi 10,000 karton rokok putih," katanya.

Katanya, keseluruhan barangan rampasan termasuk lori seberat tiga tan yang bernilai RM1.58 juta dihantar ke balai polis berkaitan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967. - Bernama

Artikel Berkaitan: