China-India kembali tegang di Naku La

Gambar fail menunjukkan sejumlah tentera India berjalan di kaki banjaran pergunungan di wilayah Ladakh. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan sejumlah tentera India berjalan di kaki banjaran pergunungan di wilayah Ladakh. - Foto AFP
A
A
A

MEDIA-MEDIA India pada Isnin lalu melaporkan bahawa tentera China bertempur dengan tentera negara itu di Naku La, utara Sikkim, India pada 20 Januari lalu sehingga mengakibatkan anggota keselamatan kedua-dua pihak mengalami kecederaan.

Portal-portal berita antarabangsa turut menyiarkan kejadian tersebut yang berasaskan kepada laporan berita media-media India di kawasan sempadan antara kedua-dua buah negara yang dipersetujui sebelum ini.

Sikkim merupakan sebuah negeri yang terletak antara Bhutan dan Nepal iaitu kira-kira 2,500 kilometer ke timur kawasan Ladakh dan satu kenyataan tentera India menyatakan berlaku konfrontasi kecil di kawasan Naku La.

Tentera China juga dilaporkan mengalami kecelakaan dalam kejadian terbaharu tersebut tetapi ia tidak membuat sebarang komen rasmi dalam insiden tersebut yang mana kedua-dua buah negara didapati telah meningkatkan pembinaan infran=struktur di beberapa bahagian sempadan itu.

Pada Mei tahun lalu, terdapat pertempuran kecil berlaku di Naku La yang setinggi lebih 5,000 meter dan sebulan kemudian pula satu pertempuran berlaku yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 20 askar India terbunuh di Lembah Galwan, wilayah Himalaya di Ladakh.

Kematian askar India dalam pertempuran itu juga adalah yang kali pertama berlaku selepas empat askar dari negara berkenaan terkorban di Garisan Kawalan Sebenar (LAC) dan merupakan sempadan kedua-dua buah negara yang sepanjang 3,440 kilometer pada tahun 1975.

Askar-askar India dari pasukan rondaan Assam Raifal itu terkorban apabila mereka diserang oleh tentera China di Arunachal Pradesh.

Artikel Berkaitan:

Peta menunjukkan kedudukan Naku La di sempadan China-India.
Peta menunjukkan kedudukan Naku La di sempadan China-India.

Sebelum ini kedua-dua pihak berperang pada tahun 1962 berhubung isu sempadan yang menyaksikan kekalahan New Delhi di Ladakh.

Bagaimanapun, berita pertempuran terbaharu itu didakwa palsu oleh portal berita Global Times yang memetik kenyataan daripada satu sumber dan insiden berkenaan tidak dicatat dalam buku rondaan Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA).

Tambahan pula, jurucakap Kementerian Luar China, Zhao Lijian dilaporkan memberitahu para pemberita bahawa beliau tidak mempunyai maklumat berhubung pertempuran yang didakwa berlaku di Naku La itu.

Insiden terbaharu itu dilaporkan berlaku ketika hubungan antara India dan China semakin tegang di kawasan sempadan dengan kedua-dua buah negara menempatkan puluhan ribu askar bersama senjata berat serta jet pejuang di kawasan Himalaya sejak 20 askar New Delhi dilaporkan terkorban pada tahun lalu.

India sebelum ini juga pernah menuduh China menceroboh wilayah India tetapi dinafikan oleh Beijing.

Tentera India kemudian membuat penjelasan bahawa hanya terdapat kejadian permusuhan secara bersemuka antara askar-askar negaranya dengan China di kawasan Nakula, Utara Sikkim pada 20 Januari lalu dan ia berjaya diselesaikan oleh beberapa komander tempatan.

Justeru, kenyataan itu meminta pihak media supaya tidak memperbesar-besarkan laporan tentang pertempuran tersebut yang secara faktanya tidak betul.

Gambar fail menunjukkan askar-askar China di kawasan Naku La, sempadan antara China dengan India. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan askar-askar China di kawasan Naku La, sempadan antara China dengan India. - Foto AFP

Beberapa pegawai dilaporkan berkata, seorang anggota rondaan China didakwa cuba untuk memasuki wilayah India dan dia dipaksa memasuki kembali ke negaranya manakala terdapat beberapa laporan bahawa kayu dan batu digunakan dalam konfrontasi itu.

Bagaimanapun, tiada senjata api digunakan dalam kejadian itu.

Pengarah Pusat Kajian Asia-Pasifik di Institut Kajian Antarabangsa Shanghai, China, Zhao Gancheng memberitahu Global Times bahawa beliau tidak pasti sama ada India dengan sengaja terlibat dengan usaha untuk menghasut China.

Seorang Felo di Yayasan Penyelidikan Pemerhatian, Manoj Joshi menulis dalam portal berita The Quint menyatakan kejadian terbaharu di Naku La itu dipercayai bukan terjadi secara kebetulan terutamanya ketika ia berlaku buat kali kedua dalam tempoh lapan bulan.

Pada 8 Mei tahun lalu, ketika tentera India dan China bertempur di Naku La, ia didakwa berlaku kerana reaksi berlebihan tentera Beijing terhadap usaha New Delhi memantau latihan infantri negara jirannya itu di mukim Gamba, Tibet.

Namun, kata Joshi, insiden pada 20 Januari itu bukannya satu insiden permusuhan secara bersemuka tetapi ia dipercayai berlaku disebabkan oleh satu latihan ketenteraan tentera China yang bertujuan untuk memperkukuhkan dominannya di garisan sempadan tersebut.

Ketika mengulas mengenai insiden terbaharu itu, jurucakap Kementerian Luar China, Zhao Lijian menyatakan tentang harapan China terhadap isu sempadannya dengan India.

Menurut kenyataannya seperti dilaporkan portal berita Global Times bahawa China selalu menekankan tentang penyelesaian secara aman dan ia tidak akan dicapai hanya melalui hasrat daripada satu pihak sahaja. - Agensi