CPI jatuh: TI-M cadang kerajaan pinda Akta Rahsia Rasmi

Laporan Sinar Harian hari ini berkaitan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia yang jatuh ke tangga 57 dunia bagi 2020.
Laporan Sinar Harian hari ini berkaitan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia yang jatuh ke tangga 57 dunia bagi 2020.
A
A
A

SHAH ALAM - Transparency International Malaysia (TI-M) mencadangkan agar Akta Rahsia Rasmi 1972 dipinda bagi meningkatkan tahap ketelusan tadbir urus kerajaan seterusnya memperbaiki kedudukan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia yang jatuh ke tangga 57 dunia bagi 2020.

Presidennya, Dr Muhammad Mohan berkata, untuk ketelusan yang lebih baik, kerajaan harus menyempitkan ruang lingkup Akta Rahsia Rasmi agar perkara yang menarik perhatian rakyat misalnya kontrak yang dirunding secara terus tidak dirahsiakan.

Menurutnya, hanya perkara yang berkaitan dengan keselamatan negara sahaja yang wajar dilindungi.

"Kerajaan juga disyorkan agar membuat kemas kini awam secara berkala mengenai status kes mahkamah berprofil tinggi yang belum selesai.

ARTIKEL BERKAITAN: Indeks Persepsi Rasuah: Malaysia jatuh ke tangga 57

"Pemantauan terhadap pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional (NCAP) dan perlu mengemas kini kemajuan tentang 115 inisiatif yang dilakukan serta ia dihebahkan kepada awam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan secara rasmi laporan CPI 2020 secara maya pada Khamis.

Dr Muhammad berkata, kerajaan juga dicadangkan memberi kuasa kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) untuk bertanggungjawab terhadap peranan perkhidmatan awam dalam menjayakan dan mencapai matlamat NACP.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, kerajaan juga perlu mengamalkan piawaian antarabangsa mengenai perjanjian integriti dalam prokumen kerajaan untuk ketelusan dan pemerintahan yang baik.

"Kuasa dan kebebasan juga mesti diberikan kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

"Kerajaan juga perlu memberi mandat bahawa Laporan Ketua Audit Negara mesti dibahaskan di Parlimen dan menjadikan Jabatan Audit Negara hanya bertanggungjawab kepada Parlimen sahaja," katanya.

Selain itu, Dr Muhammad turut memaklumkan, pihaknya juga berharap kerajaan meminda Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan Parlimen melantik Ketua Pesuruhjaya dan memutuskan tempoh jawatannya.

Tegasnya, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 juga harus dipinda untuk menyediakan saluran pelaporan yang lebih luas kepada orang ramai dan memperketat perlindungan untuk pemberi maklumat.

"Undang-undang pengisytiharan aset juga perlu digubal untuk mewajibkan semua ahli politik dan pegawai awam berpangkat tinggi mengisytiharkan aset mereka dan maklumat itu perlu dapat diakses oleh orang ramai.

"Selain itu, kerajaan juga dinasihatkan agar mengurangkan pelaksanaan projek dengan belanjawan besar yang menggunakan dana awam dan sebelum projek dijalankan, laporan kos faedah projek perlu didedahkan secara terbuka dan memerlukan kelulusan Parlimen.

Dr Muhammad menegaskan, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 juga perlu dipinda untuk memasukkan sekatan terhadap rasuah.

"Pegawai awam yang didapati bersalah melakukan rasuah mesti diarah untuk mengosongkan jawatan rasmi mereka.

"Undang-undang baharu juga harus digubal melibatkan pegawai awam (ombudsman) untuk menyiasat aduan berkepentingan awam," katanya.