X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan perlu ambil langkah proaktif lawan penggodam

A
A

SHAH ALAM - Isu keselamatan siber perlu ditangani kerajaan secara proaktif memandangkan perkara itu akan mengakibatkan ketirisan maklumat strategik yang boleh menjejaskan imej negara.

Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Amirah Ismail berkata, aspek penguatkuasaan wajar dipertingkatkan selain langkah bersepadu dalam usaha memantapkan pengetahuan dan kemahiran untuk menangkis sebarang pencerobohan siber.

“Implikasinya, keselamatan dan kedaulatan negara akan terancam. Aspek ekonomi, kestabilan politik serta kesejahteraan rakyat juga turut terkesan.

“Maka kerajaan harus mengambil langkah proaktif bagi menangkis serangan siber iaitu dengan melatih dan menerapkan kemahiran berhubung prinsip-prinsip sekuriti siber kepada umum.

“Selain itu, kita juga hendaklah mengemas kini perisian antivirus dan antispyware menggunakan aplikasi firewall dengan memuat turun perisian terkini bagi sistem pengoperasian dan aplikasi. “Ia bertujuan untuk mengawal dan menjalankan akses secara terkawal,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, langkah terbaik untuk mengelak digodam adalah dengan selalu mengubah kata laluan.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Selasa mengeluarkan notis amaran kepada semua agensi kerajaan supaya mengambil langkah perlu bagi mencegah dan meminimumkan impak ancaman serangan siber.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, MKN berkata, kerajaan melalui Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) memandang serius terhadap ancaman untuk menggodam laman web kerajaan oleh ‘Anonymous Malaysia’ menerusi video yang tular di media sosial pada Isnin.

Sementara itu Amirah menambah, perkembangan pesat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) telah meningkatkan kebergantungan kepada teknologi sekali gus membuka ruang kepada pelbagai risiko keselamatan siber.

“Malah, Malaysia turut tersenarai antara lima negara dunia selain negara maju seperti Amerika Syarikat, China, Korea Selatan dan Jepun yang pernah menjadi sasaran serangan penggodam siber.

“Namun begitu, tahap keselamatan siber di negara ini masih terkawal.

“Ini kerana kita masih mempunyai penguatkuasaan dan pelbagai undang- undang khusus seperti Akta Komunikasi Multimedia dan Akta Jenayah Komputer,” kata beliau.

Tegasnya, tindakan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang bersetuju supaya MKN menubuhkan pasukan petugas khas bagi memerangi jenayah siber, serta mengkaji isu keselamatan dengan menggubal undang-undang berkaitan adalah bertepatan.

“Ini sesuai dengan konsep mencegah sebelum merawat.

“Ia merupakan satu langkah baik kerajaan selaras dengan pelancaran pelan tindakan Strategi Keselamatan Siber Malaysia (MCSS) yang diumumkan Perdana Menteri pada 12 Oktober lalu,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!