X

Kindly register in order to view this article
!

Selangor FC bawa masuk bekas bintang Real Zaragoza

Oli pernah membarisi skuad remaja Switzerland dan beraksi dalam beberapa kejohanan antarabangsa termasuk Sukan Olimpik 2012 di London.
A
A

SELANGOR FC mengikat kontrak pemain dari Switzerland, Oliver Buff untuk memperkuatkan barisan tengah Gergasi Merah bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga-M) musim 2021.

Selangor FC mengesahkan mendapatkan khidmat pemain baharu kelimanya itu, berasal dari Baden, Switzerland yang mesra dengan panggilan Oli dalam satu kenyataan di laman web www.selangorfc.com hari ini.

Menurut kenyataan Selangor FC, Oli pernah membarisi skuad remaja Switzerland dan beraksi dalam beberapa kejohanan antarabangsa termasuk Sukan Olimpik 2012 di London selain menjulang kejuaraan Piala Dunia B-17 bersama negaranya pada 2009.

Oli juga pernah menyarung jersi pasukan remaja FC Zürich di Switzerland dari 2007 dan melakukan penampilan sulung untuk pasukan utama kelab gergasi negara tersebut pada pertengahan 2010.

Oli juga antara tonggak utama pasukan FC Zürich sewaktu membantu kelab itu menjulang Piala Swiss untuk dua musim, 2013/2014 dan 2015/2016.

Menurut data transfermarkt.com, Oli telah membuat 217 penampilan dan menjaringkan 28 gol serta 31 bantuan gol untuk kelab tersebut.

Selangor FC memaklumkan Oli kemudian berhijrah ke Sepanyol pada 2017 untuk beraksi bersama pasukan Divisyen Dua, Real Zaragoza dengan melakukan 41 penampilan sepanjang dua tahun bersama kelab tersebut.

Menurut kenyataan itu, pemain tengah berkenaan melebarkan pula kariernya ke Cyprus dengan menyertai pasukan Divisyen Satu, Anorthosis Famagusta dan kembali ke negara asalnya Switzerland untuk beraksi selama satu musim bersama kelab Divisyen Dua, Grasshopper Club Zurich.

Selain Oli, empat pemain baharu yang diperkenalkan Selangor FC untuk beraksi dalam saingan Liga-M 2021 ialah Shahrel Fikri Md Fauzi, Tim Heubach, R. Dinesh dan Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!