Trump buka 'Pejabat Bekas Presiden'

Trump (gambar kecil) kini menetap di kelab persendirian miliknya, Mar-A-Lago di Palm Beach di Florida.
Trump (gambar kecil) kini menetap di kelab persendirian miliknya, Mar-A-Lago di Palm Beach di Florida.
A
A
A

PALM BEACH - Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Isnin menubuhkan sebuah 'pejabat rasmi' di Palm Beach kurang seminggu selepas penggal pentadbirannya di Rumah Putih berakhir pada Rabu lalu.

Jurucakap beliau memaklumkan 'Pejabat Bekas Presiden' itu akan menguruskan segala urusan surat-menyurat, kenyataan umum dan aktiviti rasmi bilionair hartanah terbabit.

"Beliau akan kekal menjadi juara rakyat Amerika," katanya.

The Hill menerusi laporan mereka menyatakan pilihan nama pejabat itu mungkin akan mencetuskan spekulasi bahawa beliau tidak akan bertanding pada 2024.

Presiden ke-45 AS itu dikatakan tidak muncul di khalayak ramai sejak berpindah ke kelab persendirian miliknya, Mar-a-Lago di Palm Beach, Florida.

Kali terakhir beliau bercakap kepada media adalah beberapa hari selepas beliau meninggalkan Rumah Putih, namun tidak menyatakan dengan lebih terperinci tentang rancangan masa depannya.

Ketika ini, perkembangan terbaharu Trump sukar diperoleh memandangkan akaun peribadinya di beberapa media sosial termasuk Twitter telah digantung susulan insiden pencerobohan dilancarkan penyokongnya ke atas Capitol pada 6 Januari lalu.

Selain itu, terdapat khabar angin yang mendakwa Trump mahu menubuhkan parti politik sendiri, parti Patriot yang dilihat sebagai strategi untuk melindungi dirinya daripada langkah pemecatan.

Artikel Berkaitan:

Kempen Trump dalam satu kenyataan bagaimanapun menolak sebarang kaitan dengan parti tersebut dan mengesahkan bekas Presiden itu tiada rancangan untuk keluar daripada parti Republikan.

"Beliau komited untuk bertanding semula sebagai calon Republikan pada pilihan raya akan datang," kata Penasihat Kempen, Jason Miller. - Agensi