X

Kindly register in order to view this article
!

Ikram gesa kerajaan ambil langkah holistik hapus rasuah

Mohd Parid
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) menggesa kerajaan supaya mengambil langkah yang segera, tegas dan bersungguh-sungguh serta holistik agar gejala rasuah dapat dikawal dan seterusnya dihapuskan.

Presiden Ikram, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad berkata, pencapaian markah 53/100 Malaysia pada tahun 2019 dalam tinjauan Indeks Persepsi Rasuah Transparency International sangat menyedihkan.

Menurutnya, Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang dijalankan sebelum ini perlu dilaksanakan sepenuhnya dan dilaporkan pencapaiannya kepada rakyat.

“Tindakan yang tegas oleh pihak berwajib perlu diambil segera bagi membendung gejala ini.

“Rakyat negara ini, umat Islam khususnya perlu kembali menghayati dan mengamalkan ajaran Islam sebenar yang bukan sahaja melarang mengambil rasuah, malah mengutuk pemberi rasuah,” katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Mohd Parid berkata, Ikram berpendirian tegas bahawa rasuah adalah musuh utama negara dan bagi mengelakkan kehancuran, seluruh rakyat harus memegang sikap menolak sepenuhnya amalan rasuah dan para perasuah tanpa kompromi.

Dalam pada itu, beliau berkata, Ikram turut menyambut baik dan menyokong penuh gerakan rakyat Sinar Untuk Malaysia #KarakterNilaiMoralBangsa yang diusahakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub.

Katanya, Ikram menyeru rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama untuk menyambut gesaan ini bagi menyelamatkan negara daripada amalan rasuah yang kini telah sampai ke kemuncak sehingga negara boleh tergadai dan mandat rakyat tidak dihormati.

“Ikram akan bekerjasama dengan semua pihak dalam perjuangan membanteras rasuah.

"Dalam masa terdekat, pelbagai program bakal dianjurkan termasuklah sesi wacana, bulan kempen anti-rasuah dan kempen integriti serta akhlak mulia pada bulan Ramadan,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!