Op Mega: Imigresen tahan lapan Pati

Imigresen
Imigresen
A
A
A

ALOR SETAR - Jabatan Imigresen Kedah menahan lapan pendatang asing tanpa izin (Pati) pelbagai warganegara dalam 'Op Mega' di tiga lokasi berasingan di sekitar Kulim, semalam.

Pengarahnya Zuhair Jamaludin berkata, operasi yang bermula 10.30 pagi hingga 6.30 petang itu melibatkan pemeriksaan di rumah sewa, kedai gunting rambut dan kedai runcit di Taman Seluang, Taman Senangin dan Taman Sawi, di sini.

"Pemeriksaan telah dijalankan terhadap 40 Pati pelbagai warganegara dan daripada jumlah itu enam lelaki Bangladesh, seorang lelaki India dan seorang wanita Indonesia berumur antara 23 hingga 44 tahun ditahan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zuhair berkata, kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 56(1)(l) akta sama dan Seksyen 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial atau pas kerja.

Beliau berkata, kesemua mereka ditempatkan di lokap Imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri, Alor Setar untuk siasatan sebelum dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Sik. - Bernama

Artikel Berkaitan: