'Luluskan Muda, takut apa dengan Syed Saddiq', kata Puad

Syed Saddiq, Dr Mohd Puad Zarkashi
Syed Saddiq, Dr Mohd Puad Zarkashi
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi meminta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin supaya meluluskan pendaftaran parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Mohd Puad berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak perlu berasa takut kerana Belanjawan 2021 sudah diluluskan di Dewan Rakyat sementara Tan Sri Muhyiddin Yassin pula akan kekal menjadi Perdana Menteri sehingga darurat ditamatkan.

“Elok kerajaan PN luluskan sahaja Muda. Lagi pun takut apa dengan Syed Saddiq. Bajet 2021 sudah pun lulus. Muhyiddin boleh terus jadi Perdana Menteri sampai darurat ditamatkan.

“Apa pun jangan main-main dengan Hamzah. Dia sangat berkuasa. Dia menteri yang jaga Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS), Jabatan Imigresen Malaysia.

“Dulu Hamzah melutut dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, sekarang Tun melutut dengan Hamzah untuk daftar Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang),” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Selasa.

Pada masa sama, bekas Ahli Parlimen Batu Pahat itu berkata, tuduhan yang dikemukakan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam afidavitnya kepada mahkamah berkenaan dengan isu berkaitan pendaftaran Muda adalah sesuatu yang serius.

“Dalam afidavitnya di Mahkamah, Syed Saddiq mendakwa Hamzah letak syarat mesti sokong Muhyiddin jika mahu pendaftaran parti Muda diluluskan. Syed Saddiq buat tuduhan serius. Apakah itu cara Muhyiddin mengekalkan kuasa?” Soal beliau.

Menurut laporan portal Free Malaysia Today pada Ahad, Syed Saddiq mendakwa Hamzah ‘memujuknya’ supaya menyokong kerajaan PN sekiranya mahu pendaftaran parti Muda diluluskan.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang juga merupakan bekas menteri belia dan sukan mendedahkan, perkara berkenaan berlaku semasa sesi perbahasan Belanjawan di Dewan Rakyat pada tahun lalu.

Pendedahan tersebut dibuat Syed Saddiq dalam satu afidavit mengejutkan yang difailkan di mahkamah bagi menyokong permohonan semakan kehakiman berhubung keengganan RoS mendaftarkan Muda.