Kajian profesional, bebas terhadap warga pendidik tidak terkecuali

Mohamad Ali
Mohamad Ali
A
A
A

SHAH ALAM - Satu kajian profesional dan bebas wajar dilakukan bagi mengenal pasti kegiatan rasuah dalam sektor pendidikan agar dapat dibendung lebih awal.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, meskipun ia boleh dikatakan terkawal dan belum berleluasa namun tindakan proaktif perlu dilakukan.

“Berita seperti tender kantin, makmal, bangunan, projek dan program terbukti berlaku sogokan seperti yang pernah dipaparkan di media massa tempatan termasuk di media sosial.

Gambar hiasan - Foto fail Bernama
Gambar hiasan - Foto fail Bernama

“Jadi disyorkan satu kajian profesional bebas dapat dilakukan segera. Kemungkinan berlakunya rasuah termasuk penyelewengan guna kuasa perjawatan dan lain-lain.

“Ini boleh dijejaki melalui antaranya gaya hidup mewah yang ditonjolkan, kemewahan harta luar biasa yang diperoleh dan perbelanjaan berlebihan daripada pendapatan bulanan masing-masing,” katanya kepada Sinar Harian.

Dr Mohamad yang juga bekas Timbalan Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) berkata, secara hakikatnya, masyarakat Malaysia masih lagi belum membudayakan ketegasan membenci jenayah rasuah dengan sempurna.

Katanya, walaupun kerajaan telah mengusahakan pelbagai tindakan sewajarnya termasuk dalam aspek perundangan, pendidikan, penyiaran, penstruktural dan memperkasakan organisasi terbabit, Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia masih jauh daripada memuaskan jika dibandingkan dengan negara lain.

Artikel Berkaitan:

“Setiap hari ada saja laporan dan berita warganegara didedahkan dengan kegiatan jijik ini, sama ada dalam kalangan ‘ikan bilis’ dan juga ‘ikan jerung’; dalam kalangan penjawat tinggi dan buruh kasar, profesional dan kakitangan awam, swasta, bukan kerajaan; individu dan organisasi,” katanya.

Justeru, beliau amat menyambut baik gerakan yang dilaksanakan Sinar Harian yang amat tepat pada masanya dan wajar disokong sepenuhnya.

“Semoga usaha ini mendapat reaksi positif dan membuahkan sambutan lumayan serta bermakna dalam kalangan individu dan organisasi di Malaysia,” katanya.