IKHLAS komited bantu mangsa banjir di Pantai Timur

IKHLAS memberi bantuan kepada mangsa banjir di Pantai Timur baru-baru ini.
IKHLAS memberi bantuan kepada mangsa banjir di Pantai Timur baru-baru ini.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] IKHLAS melalui perkhidmatan sedekah 'Derma dengan IKHLAS' terus komited menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir yang terjejas di kawasan Pantai Timur.

Ketuanya, Ikhlas Kamarudin berkata, misi kali ini bertempat di Kemaman dan Dungun, Terengganu bagi meringankan beban lebih 200 buah keluarga termasuk sekumpulan penternak tempatan.

Menurutnya, misi tersebut mendapat kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan NGO seperti Group Transformasi Ruminan (GTR) dan rakan komuniti, Zer0Hunger.

"Setiap keluarga yang terjejas menerima barangan keperluan seperti produk makanan siap dibungkus, sejadah dan telekung, pakaian untuk kanak-kanak dan dewasa, air minuman, pelitup muka, pembersih tangan, makanan kering dan minyak masak.

"Manakala, komuniti penternak di kawasan yang terjejas juga menerima lima tan dedak lembu dan 70 kit perubatan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, Ikhlas turut berdukacita melihat mereka yang terjejas akibat banjir dan berhasrat untuk membantu terutama apabila banjir telah surut dan memerlukan bantuan untuk membina semula kehidupan yang terjejas.

"Pihaknya berterima kasih kepada semua badan kerajaan dan persatuan bukan kerajaan yang terlibat dan bekerjasama dengannya untuk melaksanakan misi ini dan berdoa agar semua komuniti yang terjejas akan kembali pulih seperti biasa.

"Orang ramai yang ingin mengetahui maklumat lanjut tentang tabung bantuan dan inisiatif lain boleh melayari laman sesawang ikhlas.com atau laman sosial di Instagram ikhlasdotcom dan Facebook ikhlasdotcom," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, IKHLAS memulakan misi bantuan banjir pada awal Januari sekitar negeri Pahang dengan mengagihkan barangan keperluan kepada lebih 400 buah keluargan serta membantu membersihkan surau dan sekolah yang terjejas.

"IKHLAS telah menerima dana sebanyak RM1.5 juta melalui inisiatif ‘Derma dengan IKHLAS’ dan ‘IKHLAS Untuk Sabah’.

"Inisiatif ini telah membantu lebih 19,000 buah keluarga di seluruh negara termasuk komuniti yang terjejas akibat pandemik Covid-19 dan banjir sejak April lalu," katanya.