X

Kindly register in order to view this article
!

'Selesai secara berhemah, bukan kenyataan terbuka'

MOHD ARIFF
A
A

IPOH - Pemuda UMNO Perak menyelar tindakan sesetengah pihak yang mengeluarkan kenyataan mendesak Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berundur daripada jawatan tersebut.

Ketuanya, Mohd Ariff Abdul Majid berkata, sama ada ahli atau pemimpin UMNO, mereka perlu berfikir sebelum membuat kenyataan-kenyataan negatif yang akan memberi kesan kepada imej parti dan institusi presiden.

Menurutnya, hal ehwal dalaman parti tidak perlu diulas secara umum kerana perkara lebih penting ialah bagaimana untuk menguatkan serta mengangkat martabat parti keramat ini.

"Pemuda UMNO Perak yakin dengan kekuatan yang telah dibina oleh presiden parti dalam menegakkan layar di saat UMNO dipukul ombak. Di dalam pertempuran, selain strategi kalis masa dan pasukan yang kuat, kepercayaan serta keyakinan kepada kepimpinan yang mengemudi organisasi dalam institusi adalah kunci utama kemenangan.

“Pemimpin dan ahli UMNO harus berprinsip dan konsisten dalam perjuangan. Dalam keadaan UMNO berdepan dengan ancaman dari segenap sudut, seharusnya kita menguatkan tiang serta tunjang parti. Jangan biarkan api yang kecil ini membakar tiang yang telah dibina,” katanya dalam kenyataan akhbar pada Isnin.

Mohd Ariff berkata, sebarang perbezaan pendapat harus diselesaikan secara berhemah dan bijak melalui konsep musyawarah, bukan menerusi kenyataan secara terbuka.

Dalam pada itu, beliau menggesa UMNO memberi fokus kepada penyelesaian masalah rakyat yang berdepan kesukaran kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta peningkatan kes Covid-19.

Beliau berkata, ahli dan pimpinan UMNO tidak seharusnya mengeruhkan lagi keadaan yang langsung tidak menyumbang kepada keperluan rakyat.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!