‘Penghujung masih belum kelihatan’
SHAH ALAM - Krisis pandemik Covid-19 yang berlaku di dalam negara masih belum menunjukkan sebarang tanda akan berakhir meskipun kini telah genap setahun ia dicatatkan buat pertama kalinya di Malaysia.
Perkara itu diakui oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang turut melahirkan rasa sedihnya terhadap perkembangan semasa penularan Covid-19 di dalam negara.
"Sungguh menyedihkan saya hari ini bahawa kita telah bertarung melawan Covid-19 selama setahun di negara ini. Namun penghujungnya masih belum kelihatan," katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Isnin.
Tanggal 25 Januari 2020 merupakan hari pertama di mana Malaysia merekodkan tiga kes Covid-19 yang melibatkan ahli keluarga rapat kepada seorang lelaki berusia 66 tahun dan anak lelakinya yang berasal dari Wuhan, China.
Sehingga Ahad, kes Covid-19 di Malaysia sudah merekodkan kes keseluruhan sebanyak 183,801, sejumlah 678 kes kematian dan seramai 141,446 (77 peratus) kes sembuh daripada virus berkenaan.
Pada masa sama, Noor Hisham meminta semua pihak supaya terus cekal dan bersama-sama memikul tanggungjawab bagi menyelamatkan negara yang sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19.
Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan sentiasa menghadkan pergerakan mereka supaya rangkaian penularan Covid-19 dapat diputuskan.
“Walaupun keletihan mental dan fizikal, kita semua perlu terus maju. Setiap orang, tidak kira siapa anda, mesti memikul tanggungjawab bersama untuk menyelamatkan negara kita.
“Patuhi SOP, pakai topeng muka dengan betul, cuci tangan, dan jaga jarak fizikal. Tinggal di rumah jika anda tidak mempunyai masalah mendesak di luar.
“Bersama-sama kita dapat memutuskan rantai transmisi Covid-19. Kita mesti bersatu dan bersama-sama kita terus berjuang. Insya-ALLAH,” katanya.