PKP: 17 individu dikompaun akibat beriadah di taman rekreasi

Abdul Majid
Abdul Majid
A
A
A

MELAKA - Seramai 17 individu termasuk penjawat awam dikompaun RM1,000 kerana beriadah di Taman Rekreasi Sungai Undang, Alor Gajah, kira-kira jam 6.30 petang, pada Ahad dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Majid Mohd Ali, berkata, mereka berusia dari 13 hingga 41 tahun itu dikenakan dikompaun antaranya kerana melakukan aktiviti riadah seperti joging di kawasan itu serta tidak mengamalkan penjarakan fizikal.

"Polis bertindak berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) dan arahan yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) Melaka yang tidak membenarkan sebarang aktiviti beriadah di kawasan rekreasi tetapi hanya dibenarkan di kawasan perumahan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang di sini, pada Isnin.

Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya tidak akan tunduk dengan sebarang campur tangan pihak ketiga dalam menegakkan undang-undang bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Sementara itu, Exco Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, semua agensi dan pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta mengambil tindakan pantas dan tegas dengan menutup taman rekreasi masing-masing sama ada menaikkan papan tanda atau meletakkan penghadang dilarang masuk di semua pintu masuk taman rekreasi awam masing-masing.

"Saya difahamkan ketika insiden semalam (Ahad), tiada papan tanda atau penghadang dilarang masuk dipasang di Taman Rekreasi Sungai Udang dan dimaklumkan, pengawal keselamatan juga membenarkan pengunjung masuk beriadah di kawasan berkenaan.

"Saya harap semua pengawal keselamatan dan kakitangan yang menjaga semua taman rekreasi awam di negeri ini untuk melarang semua rakyat masuk ke taman rekreasi awam sebagai usaha untuk mencegah daripada rakyat melanggar undang-undang atau peraturan ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan MKN, " katanya.

Artikel Berkaitan: